Tuesday, February 21, 2017

Nyawa Di Tepi Jalan

Setiap petang saya akan mengambil anak dari KAFA berhampiran pejabat FAS Kelana Jaya. Saya kemudian akan menuju LDP arah Sunway melalui terowong bawah tanah ditepi Paradigm Mall. Tepat lepas terowong itu, jalan akan menyimpang ke Jalan Bahagia di lorong kiri dan LDP arah ke Sunway di lorong kanan.

Sudah lama saya lalu laluan itu namun mulai sebulan yang lepas saya dapati ada seekor anak kucing berwarna hitam dengan tompok putih dibawah badan duduk betul-betul ditepi belok simpang arah menuju LDP selepas terowong tadi,  mengadap arah kereta yang mendatang. Mujurlah anak kucing itu duduk di selekoh kekanan. Agak sukar untuk kereta melanggarnya kerana kereta akan ditarik kekiri oleh Centripetal Force.

Walau bagaimanapun saya tetap risaukan anak kucing itu. Takut ia dilanggar. Jika bukan kerana jalan itu selekoh sempit dan amat merbahaya untuk kereta berhenti, saya mungkin telah bawa anak kucing itu balik.

Setiap petang anak kucing itu akan duduk seperti patung harimau yang gagah menjaga pintu masuk taman tema lagaknya. Mungkin ia suka bunyi tayar yang deras lalu ditepi atau mungkin ia sukakan suasana kalut kereta ambil corner. Allah sahaja yang tahu. Cuma kadang-kadang bila ia tiada disudut simpang itu, saya lihat ia berlegar diatas bahu jalan mencari bahan permainan atau mencari makan barangkali,

Khamis petang minggu sudah seperti biasa selepas ambil anak dari KAFA saya akan lalu terowong itu dan tuju selekoh kanan arah Sunway. Alangkah terkejutnya saya melihat anak kucing itu terbaring ditepi simpang tempat ia selalu duduk, kini terbujur membelakangkan bahu jalan. Luruh dan hancur hati saya. Mahu sahaja saya berhenti mengejut dan ambil bangkai itu pulang untuk ditanam tapi kereta dibelakang saya amat laju.

Saya pendam kesedihan saya dan berdoa agar ada manusia lain yang baik hati akan tanam bangkai itu. Keesokan petangnya saya lalu tempat yang sama dan lihat bangkai kucing itu sudah tiada. Saya rasa gembira dan bersyukur.

Petang semalam, saya lalu lagi diselekoh itu. Kelihatan seekor anak kucing hitam bertompok putih dibawah badan sedang duduk mengadap simpang memerhatikan kereta lalu depannya dengan mata yang kuyu.

Hidup lagi rupanya dia.