Monday, October 31, 2011

Wheel Balancing

Setiap kali saya hantar kereta untuk buat alignment tayar kereta, pomen tayar mesti tanya, "mau bikin balancing sekali?"

Kawan lama yang saya panggil 'boroi', yang juga seorang jurutera elektrikal lulusan universiti pernah memberitahu saya bahawa balancing tayar hanya patut dibuat apabila tayar baru dipasang ke rim sahaja. Kalau setakat buat alignment, tak payah balancing.

Dah tahu jawapan saya kepada pomen tayar tadi kan? Anda pula bagaimana?

Saturday, October 29, 2011

India Carwash

Di kala ini saya sedang menunggu kereta saya habis dicuci di carwash. Saya memang malas nak cuci kereta sendiri. Rumah saya kecik jadi kalau saya basuh kereta, air cucian itu akan mengalir ke luar dan melecakkan depan rumah jiran saya pula. Bising jiran saya nanti.

Sebelum saya menaip entri ini, saya minum nescafe tarik dan makan roti bakar satu set. Menghabiskan air dan roti itu pun makan masa juga. Saya agak, dalam 30 minit lah.

Usai bayar mamak, saya ke carwash disebelah mamak tempat saya melepek. Kereta saya baru sahaja disapu dengan sabun buih. Belum dibilas dengan air pun. Saya pandang jam, dah 45 minit berlalu sejak saya sangkutkan kunci kereta ber keychain kan Liverpool FC.

"India carwash ni dah melampau!", hati saya memberontak. Terus saya marahkan india tokey carwash. Macam2 alasan dia bagi. Saya renung tajam mata tokeh india tu sampai dia buat2 lap kereta saya.

Elok saya bergaduh dengan india carwash dari bergaduh dengan jiran.

Kan?

***

"8 ringgit boss". India carwash minta duit upah cuci. Saya pusing2 kereta dan nampak satu tompok kecil yang belum dilap. Betul2 atas lampu depan kereta. Saya tenung tempat tu lama2. India itu datang dan menggelap tompok air tanpa disuruh.

Saya pusing lagi. Bila berhenti saya hulur 10 ringgit pada india itu sambil cakap, "keep the change". Dia menyeringai tersengih. Saya tersenyum.

Friday, October 28, 2011

Malaysia Tahun 1950 Dan Sekarang

Cuba kita imbau kembali kezaman dahulu, let us say .. 60 tahun yang lampau. Zaman dimana TV pun tidak ada, panggung wayang boleh kira dengan jari dan kompleks beli belah langsung tidak ada. Yang ada hanya radio.

Infrastruktur dalam Malaya hanya maju dikawasan bandar. Kampung masih tiada lektrik dan air paip. Sistem kumbahan? Zero.

Kerja pula sangat bergantung kepada dari kaum mana seseorang itu datang.



Melayu? Duduk kampung dan jadi petani.

India? Tinggal didalam estet menjadi buruh.

Cina? Menjadi peniaga dibandar2.

Sebagai anak muda dizaman itu, apa yang mereka akan lakukan dimasa lapang yang mungkin agak membosankan? Maklumlah, bukannya ada Astro. Bukannya ada kedai snooker. Bukannya ada Starbucks.

60 tahun sudah, kaum Hawa belajar menjahit dan memasak diwaktu kelapangan. Cukup umur, kawin. Kaum Adam pula, bersukan.

Yer adik-adik, 60 tahun dahulu dimasa lapang kaum Adam akan bersukan. Dikala tiada wang didalam sukan, tiada tajaan jutaan ringgit, tiada populariti global, mereka akan bersukan kerana mereka suka bersukan. Sukan yang hanya membawa erti jati diri, kebanggaan dan semangat juang. Pandai bersukan tak semestinya masuk TV dan jadi popular kerana zaman tu mana ada TV.

Sekarang, duit menjadi ukuran. Semua berlumba untuk jadi popular kerana selalu masuk TV dan dapat awek artis. Sistem pemakanan, pengurusan sukan dan teknik kejurulatihan makin penting. Perjudian dalam sukan semakin ketara dan tidak kurang turut mempengaruhi sebarang bentuk sukan yang ada.

Kita lupa kenapa kita berjaya dalam sukan dipentas antarabangsa suatu ketika dahulu. Dahulu kita suka bersukan kerana ia mengisi masa lapang. Kini kita bersukan hanya untuk cari wang yang sedikit dan makwe.



Mungkin ada yang berfikir, pemain bolasepak Brazil pun hanya cari wang tetapi mereka bagus juga. Anda lupa bahawa di Brazil terdapat terlalu banyak 'flavela' atau kawasan miskin dan jika mereka tidak berjaya, mereka akan terus papa kedana dan mungkin mati awal akibat dadah atau gangsterisma.

Di negara seperti England pula bagaimana? Disana, duit untuk ahli sukan adalah terlalu banyak dan menjadikan ahli sukan mereka amat profesional.

Malaysia perlu berubah untuk berjaya dalam sukan dan sedikit sebanyak, dalam ekonomi. Kita perlu berubah. Saya dan kamu.

Wednesday, October 26, 2011

Diwali ke Deepavali?

Malam sebelum Deepavali ialah malam main mercun. Umum semua tahu. Cuma semenjak-dua menjak ini acara main mercun mereka makin menjadi-jadi. Ada kawan saya sorang tu siap talipon polis, komplen jiran dia punya sessi mercun malam tadi. Terlampau melampau sangat jiran dia tu!

Sebagai rakyat 1Malaysia, semalam saya tidur tekap telinga dengan bantal. Asalkan anak saya tak menangis terkejut dari tidur, saya sabar.

Tidak seperti raya melayu dan cina, setahu saya deepavali tidak ada lagu raya. Lagu2 yang dimainkan dihari perayaan mereka ini pun macam sama aje dengan hari-hari lain. Tabla, tabla, tabla. Sita, sita, sita.

Lagu rap mereka pun ada tabla dan sita.

Walaupun begitu, penggunaan tabla dan sita yang berleluasa juga ialah satu perkara yang saya anggap baik dalam muzik india. Mereka bangga dengan seni dan peralatan muzik mereka.

Ada orang melayu nak memperkasakan kompang dalam lagu2 mereka? Jarang sekali. Jangankan lagu pop melayu, nasyid pun dah tak pakai kompang.

Pada saya lagu nasyid yang menggunakan kompang dan gendang perang sangat mengujakan. Teringat saya pada lagu2 nasyid dari Mesir yang pernah abang saya bawa pulang dahulu. Pehhh..

Adakah assimilasi bangsa di Malaysia ini akan menelan seni dan budaya melayu? Harapnya tidak lah.

Monday, October 24, 2011

Marco Simoncelli (1987-2011)


Saya masih ingat satu iklan TV yang menunjukkan seorang rider motoGP rambut kembang berbahasa inggeris loghat itali. Iklan bermula dengan, "Hi I am Marco Simoncelli.."

Saya sangat sedih dengan kematian beliau dilitar Sepang semalam. Walaupun dia belum menjadi juara dunia lagi tetapi bahang kemaraan beliau amat dirasai.

Ramai yang tidak berapa gemar cara beliau membawa motor lumbanya kerana agak merbahaya. Tapi itulah Marco, seorang yang faham dengan erti, "high risk, high return". Beliau membuktikan bahawa untuk menjadi juara dipentas dunia bukanlah benda yang mudah.

Marco Simoncelli - 1987-2011

Friday, October 21, 2011

Apa Yang Anda Nampak?

Sila lihat gambar Porsche Panamera dibawah.



Sila lihat gambar Maserati Granturismo ini pula.




Apa yang anda nampak?

Monday, October 17, 2011

Steadfast And Be Strong

Bila kita tiba disatu persimpangan yang memerlukan satu keputusan, maka berdoa dan buatlah keputusan.

Dan setelah kita buat keputusan itu, teruskan berusaha, istiqamah dan berdoalah lagi.



InsyaAllah, kita akan berjaya.

Sekiranya masih gagal maka bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana seburuk-buruk kejadian yang menimpa kita, ada lagi insan yang lebih buruk ujiannya.

Thursday, October 13, 2011

From Kuala Kangsar With Love - Finale

Selepas mengajar dibeberapa sekolah yang lain, arwah abah ditempatkan disebuah sekolah kecil, jauh dipenjuru mukim Sungai Siput, Perak. Sekolah yang terletak di Kg. Jalong. Ini berlaku sekitar tahun 1955-1960 (anggaran saya sahaja).

Di Sekolah Kebangsaan Kg. Jalong, arwah abah mulanya menyewa dipekan Sungai Siput yang agak jauh dari sekolah. Jauh itu bukan menjadi hal tetapi kawasan Kg.Jalong merupakan kawasan hitam. Dilaporkan ramai pengganas komunis berkeliaran dihutan berhampiran dan ramai 'communist sympathizers' di pekan Sungai Siput. Untuk masuk kawasan kampung diwaktu 'curfew 7pm-7am', seseorang perlu ada permit polis. Sentri askar 24/7/365 dijalan masuk Kg.Jalong memantau semua pergerakan masuk keluar kampung.

Akibat kesusahan untuk pergi balik dari tempat kerja, arwah akhirnya menyewa terus didalam kampung. Nama tuan rumah tempat arwah menyewa ialah Abdul Rahman Bin Idris.

Abdul Rahman Bin Idris ialah anak orang berada di pekan Sungai Siput. Ayah beliau memiliki motor norton diawal 1900. Waktu itu kalau ada motor norton kira kuat lah juga. Tapi Abdul Rahman Idris tidak mahu memperkudakan harta ayahnya. Beliau meminta tanah rancangan anjuran pihak yang berkuasa ketika itu dan seterusnya diberikan tanah untuk mengusahakan kebun getah di Kg.Jalong.

Abdul Rahman Bin Idris ialah bapa kepada ibu saya.

Wednesday, October 12, 2011

From Kuala Kangsar With Love

Kadang-kadang sepi itu sangat indah. Ia mengingatkan kita tentang ketenangan yang wujud didalam semua kekalutan ini. Sepi sebegini harus dicari dan bukan yang dicampakkan kepada kita. Yang lebih tak sedap ialah sepi yang dilontarkan dibawah paras sedar.

Saya sekeluarga pulang ke kampung di daerah Kuala Kangsar, Perak hujung minggu sudah. Ketika memandu di satu kawasan yang bernama Temin, mak saya berkata, "dulu arwah abah kamu pernah mengajar disini. Umur dia baru 16 tahun. Abis standard 6, terus jadi cikgu. Menyewa dikawasan ini lah. Orang tua yang menyewakan rumah* akan sediakan kayu api (untuk abah masak makanan) bila arwah pulang mengajar dari sekolah. Selalu juga dia berbasikal dalam gelap dari Padang Assam, Kuala Kangsar ke Temin bila sudah tidak menyewa. 5 pagi bertolak, singgah subuh di Kuala Kangsar lalu terus ke Temin. Jalannya kecik dan bila tiba di sekolah, baju basah bukan sebab peluh tapi kerana embun dihujung lalang tinggi tepi jalan yang bergesel dengan baju arwah."

Saya bersyukur kini bersekolah dah mudah. Jadi guru juga makin mudah.

Arwah abah memang orang baik.

*Dulu sewa rumah, tidor di ruang tamu saja.

Friday, October 07, 2011

Heaven For Couch Potatoes

Anda suka tengok TV? Saya suka dan dulu saya pernah cakap yang kami 'subscriber' Astro B.Yond.

Memang saya suka tengok TV tapi selalunya layan program sukan lah. Layan HBO HD, Sundance Channel atau National Geographic HD jarang-jarang. Kadang-kadang bukan kerana cerita di HBO HD tu tak sedap, cuma waktu siarannya clash dengan program sukan yang saya sedang tengok. Bila ini berlaku, saya akan berdoa agar saya akan dapat menonton cerita di HBO HD tadi di waktu dan masa yang lain (selalunya memang miss terus lah. Malas nak check program schedule).

Kalau TV1, TV2, TV3, Astro Prima dan TV9 pula, memang takde peluanglah isteri saya nak tengok bila siaran drama 'sayu-sayu' atau drama Fasha Sandha berlakon, sama waktu dengan siaran langsung bolasepak atau sukan golf kegemaran saya. Isteri saya bagaikan orang dahaga menunggu air di perigi buta.

Kini tidak lagi. Isteri saya telah mengorder Astro B.Yond PVR.


Saya hanya perlu mencari nama program, waktu siaran dan menekan butang 'record'. Pakej yang saya ambil akan membenarkan 300 jam 'free recording'. Taktaulah kalau semua pakej PVR macam itu. Mungkin ada caj untuk rakaman lebih dari kuota yang diberikan. Saya taktau.

Isteri saya kini ibarat nasi tersaji sampai kelutut. Terbaik!

Thursday, October 06, 2011

180 Darjah

Sebelum saya menggunakan produk Apple Computers, saya tidak pernah kenal dan faham erti seni dalam produk. Bagi saya, produk ialah spesifikasi dan 'features' sahaja. Design mungkin ada didalam 'check-list' tetapi ditempat yang terakhir.

Sebelum saya menggunakan produk Apple Computers, saya akan sentiasa fikirkan tentang harga. Kalau mahal, saya tidak akan mempertimbangkan langsung barang tersebut.

Apple telah mengubah pemahaman dan citarasa saya 180 darjah.

Apple mengajar saya bahawa kualiti dan design yang baik memerlukan pelaburan. Malah design kini berada ditempat pertama 'check-list' saya dihadapan kualiti.

Apple memberi makna didalam pepatah 'alah membeli, menang memakai' kerana sebelum Apple, saya tidak faham langsung pepatah ini.

Mungkin ada diantara rakan saya tidak faham mengapa saya akan memberi 'tabik hormat' kepada mereka apabila mereka mula-mula tunjukkan kepada saya yang mereka sudah membeli produk Apple. Saya pasti kini mereka sudah faham dan mereka pula akan memberikan 'tabik hormat' kepada pengguna Apple baru yang seterusnya.

Mungkin ada diantara orang yang tidak saya kenali di kedai-kedai minum berkongsi wifi, menggunakan Macbook fikir yang saya ini gila kerana asyik memandang mereka sambil tersenyum. Saya pasti mereka akan faham juga akhirnya.

Terima kasih Steve Jobs.

Wednesday, October 05, 2011

Terima Kasih D90

Hari ini adalah salah satu hari yang sangat sedih bagi saya. Kamera saya sudah bertukar tuan. Saya menitiskan airmata ketika membungkusnya semalam.

Sedih kerana itulah kamera DSLR pertama saya. Ia juga kamera yang banyak mengambil gambar Adam ketika dia baru lahir sampailah dia pandai berjalan, yang merupakan antara saat-saat menggembirakan kami sekeluarga.

Perasaan pilu ini agak sama dengan waktu komputer riba Apple Powerbook G4 saya pergi dan tak kembali lagi.

Mujurlah saya berjaya memelihara memori kamera ini dengan menggantungkan banyak hasil tangkapannya didinding rumah.

Harapan saya adalah agar semangat minat fotografi dalam diri ini akan masih menebal hinggalah saya mendapatkan penggantinya nanti.

Panasonic Lumix GF3 barangkali?

Tuesday, October 04, 2011

Majlis Bahagia

Sebagai seorang yang juga tidak makan gaji, saya rasa seorang peniaga mestilah bersedia untuk menghadapi masalah-masalah yang bakal diharungi dengan sifat sabar dan ikhlas. Pelanggan haruslah sentiasa diutamakan.

Kesilapan dan kekurangan apabila menjalankan sesuatu urusan itu pasti ada, walau bagaimana prihatin pun perancangannya.

Hujung minggu sudah, sahabat baik kepada isteri saya bertunang. Lokasi pertunangan itu dibuat dirumah kakak beliau. Lokasi yang comel dan cantik. Ia dihias kemas, sesuai dengan tema hari bahagia itu. Sofa dan karpet berwarna krim disulami dengan 'runner' emas serta langsir baru 'off-white' memang menawan.

Yang bertunang pun tak kurang hebatnya. Baju pertunangan putih bertatah manik dan "sequin" perak, bergemerlapan pada petang itu. Wajah si gadis berseri-seri seperti bidadari yang baru turun dari syurga lagaknya.

Khemah dengan warna yang mengikut tema serta berbumbung tajam bertujuan untuk meneduhkan para hadirin dari panas terik ketika makan tersergam indah dihadapan lokasi pertunangan.

Tapi 'catering' datang 1 jam lambat.

Jujur saya katakan kejadian itu memang salah 'caterer' tapi tuanrumah yang mulanya merah-merah muka marahkan mereka dalam talian, tenang ketika mereka sampai. Sekurang-kurangnya mereka datang dan terima amarah pelanggan. Baguslah.

Tahniah 'Lora'! Semoga pernikahan hujung tahun ini berjalan lancar, 'vogue' dan 'very the vass'.

Saturday, October 01, 2011

Getting A Grip On Reality

Kenapa anda berblog? Kenapa anda berfacebook? Twitter?

Ada diantara anda buat semua perkara yang saya sebut diatas kerana anda mahu mencari teman.

Ada pula terlalu gemar menulis walaupun diri sedar bahawa menjadi jurnalis adalah sesuatu yang jauh panggang dari api.

Ada yang menggunakan saluran ini untuk mempromosikan hasil kerja.

Ada juga ceburi aktiviti ini kerana desakan rakan sebaya.

Saya?

2003 ialah tahun dimana seorang sahabat mengesyorkan agar saya mula berblog. Atas semangat berkawan, saya menghidupkan blog yang anda sedang baca ini tetapi pada mulanya saya langsung tidak aktif menulis. Kehidupan saya ketika itu juga tidaklah begitu kondusif untuk berblog.

Saya bukan seorang yang sentiasa serius dalam hidup. Selalunya saya akan melihat sesuatu perkara yang ramai orang anggap 'salah' dari perspektif yang neutral. Saya ambil contoh, Namewee. Tidak perlu saya perkenalkan siapa Namewee, umum lebih arif.

Bagi saya Namewee menggunakan internet sebagai saluran untuk meluahkan kekecewaan beliau terhadap masyarakat yang pada beliau telah banyak melanggar prinsip-prinsip yang beliau perjuangkan. Bukan untuk mencari populariti. Lihat saja klip video beliau memekak di pejabat TNB apabila elektrik tiada di bandar Muar. Manakala klip lagu Negarakuku yang beliau siarkan dulu menceritakan kekecewaan terhadap sistem Malaysia yang tidak 1Malaysia/negara berkebajikan.

Kembali kepada isu saya, kenapa saya disini?

Saya bukan mahu tunjuk pandai dengan menulis seperti jurnalis 'Time Magazine'.

Saya juga bukan mahu cari teman kerana saya sudah pun berkeluarga.

Saya tiada hasil kerja yang layak untuk dijual melalui saluran internet.

Saya hanya mahu merepek dan melalut disini. Melalak dan memekik kerana ianya tidak memberi apa-apa erti pun. Wahai pembaca yang budiman, isi didalam skrin empat segi yang anda semua sedang mengadap ini bukan realiti. Sekiranya anda klik ke laman lain sekalipun pada dasarnya ia masih sama, itu bukan realiti.

Disini, anda boleh jadi apa sahaja yang anda suka tanpa perlu kebenaran sesiapa. Walau bagaimana pun beberapa perkara asas haruslah seseorang yang waras ikuti ketika merepek di internet. Perkara seperti jangan mengata orang, jangan memfitnah dan jangan menyusahkan orang lain.

Saya hairan kenapa ada yang mempersoalkan tentang mengapa saya menulis seperti saya syok sendiri kerana memang saya syok sendiri pun.

Dimana-mana saya boleh menulis di internet mestilah saya akan syok sendiri kerana dunia siber ni bukan dunia realiti. Kalau anda mahu serius menulis cerita fantasi seperti Tolkien atau penuh perasaan serta bernahu seperti penulis di ESPN, teruskan lah.

Itu bukan saya.