Thursday, September 29, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 5, Projek Evo 1

Pepatah ada mengatakan jika mahu meluntur buluh haruslah dari rebungnya. Bagi saya pepatah ini cuba menyatakan betapa pentingnya merancang sesuatu sebelum terlambat. Kalau main belasah saja, keputusan yang diinginkan mungkin tidak tercapai malah nampak macam kita ni bangang pula.

"Aziz, Nazri, Manjit. Gua harap Kuppu dah jelaskan tugas luorang." Jamal bersuara lantang sebaik sahaja sessi 'brain-storming' petang itu tamat. Kuih seri muka dan badak berendam masih ada enam ketul lagi dalam pinggan atas meja. Aziz pandang Manjit. Manjit pandang Aziz. Pandang memandang dengan otak berfikir siapa akan dapat makan kuih seri muka yang dah 'last-call'. Kuih badak berendam ada lagi lima. Sorang pun tak usik. Mungkin kerana leceh nak makan kuih jenis ini ketika bermesyuarat.

Zup zup zup! Jamal mengunyah kuih seri muka yang dah 'last-call' tadi dengan jayanya. Manjit dan Aziz terpongeh.

Kesimpulan sessi petang itu, projek 'Mitsubishi Lancer Evo 1' akan bermula dua hari lagi. Bayaran deposit sebanyak RM2,000 dari pelanggan kepada Jamal sudah pun berada dalam perut mesin kuda no.4. Segala perancangan telah dibuat dan semua barangan yang diperlukan untuk menjayakan projek ini sudah tersedia.

"Gua taknak luorang main-main. Gua ulang sekali lagi, gua taknak luorang main-main. Apa gua cakap tadi?" Jamal buat muka tanda soal bercampur bengis.

"Gua taknak luorang main-main!" Aziz, Nazri dan Manjit menjawab serentak dengan ketiga-tiganya memandang Jamal sambil masing-masing memegang sudu teh, sedang makan kuih badak berendam.

"Aduhh..." Jamal mengeluh kecil, tepuk dahi.

---

Malam itu hujan renyai-renyai. Angin menyapa secara sepoi-sepoi bahasa yang membuatkan saya yang ditugaskan memandu lori Isuzu satu tan itu, tersenguk-senguk nak tidor. Yang menahan saya dari terus tidur hanyalah bunyi enjin lori di gear tiga. Bising macam haram jadah. Patutlah lori Isuzu harga murah. Dibahagian belakang lori, sejenis jek angkat enjin terikat ketat dan Aziz, Nazri serta Manjit sedang mencangkung meredah cuaca malam yang sembap dan lembap. Jamal dan Kuppu mengekori rapat dibelakang lori menaiki motor sementara Johan dan Joey sebok meludah serangga kecil dari dalam mulut, membonceng Jamal dan Kuppu.

"Kau apahal selubung kepala dengan jaket tu Naz?" Aziz tanya Nazri. Nazri memang baru dalam arena kerja-kerja panas ni.

"Sejuk." Balas Nazri.

"Dah, jangan serkup kepala macam tu. Nampak macam boyan." Aziz bising dibelakang lori.

Usai lori parkir dilorong betol-betol sebelah tepi pagar rumah 'end-lot' mangsa, Jamal mengganggukkan kepala kepada Johan dan Joey tanda arahan mula tugas sementara Kuppu cergas membantu Aziz, Nazri  dan Manjit turun dari lori. Cahaya lampu jalan tepi rumah mangsa sekejap menyala, sekejap padam. Bila menyala kelihatan lah unggas-unggas berterbangan mengelilingi lampu itu dan bila ia padam, apa pun tak nampak.

Jamal usha jam tangan, "2:30am".

"Nah ambik sorang satu." Jamal hulur sarung muka seperti yang diguna pemotong rumput tepi jalan.

"Ingat, kita ada 20 minit untuk kasi clear. Paling lama pun 22 minit." Jamal membisik kepada Aziz, pomen terhandal dan merupakan ketua pasukan bukak barang kereta malam itu.

Mereka menunggu cahaya lampu jalan padam. Bila padam, seorang demi seorang dari mereka lompat pagar dan masuk rumah mangsa. Ketiga-tiga pomen kereta racing tersohor berjaya lompat masuk setelah 4 kali lampu jalan padam. Sekali tu lampu cepat sangat menyala semula maka tak sempat Manjit nak mengangkang kesebelah dalam pagar, dah kena turun balik.

"Klunk, klank, klunk, klank," bunyi kereta Mitusbishi Lancer Evo 1 mula dibuka dengan sinaran lampu suluh bersilang-silang menyuluh kereta. Bonet dah ternganga menunjukkan enjin 4G63 berkuasa turbo dan turbin jenama 'Garrett' yang memang mahal harganya dipasaran. Tambahan pula pasukan rally Mitsubishi berkuasa enjin VR-4 4G63 ini sedang 'hit' di persada rally dunia.

"Wey, apa hal lu nak rembat barang gua ni wey! Tolong! Tolong!" Jeritan mangsa dari dalam rumahnya.

"Gedegang, gedegang!" Bunyi pintu gril ditendang mangsa yang pada mulanya cuba dibuka tetapi digagalkan oleh 'Solex' baru yang dipasang oleh Johan dan Joey dipintu hadapan dan belakang umah mangsa.

"Amy! Amy! Talipon polis Amy! Cepat!!" Mangsa menjerit kearah isterinya yang kehulu kehilir mencari talipon.

"Jeez, mangsa dah call polis. Kita ada 15 minit dari sekarang! Clearkan cepat!" Jamal mengingatkan Aziz. Aziz angguk.

Enjin dan turbo selesai diangkat oleh jek. Kerusi 'Recaro' depan dan belakang tersadai ditepi bahagian dalam lori. Suspensi dan rim jenama 'Ralli-Art' siap dibungkus. Keempat-empat brek 'Brembo' dan keseluruhan sistem exhaust 2.5 inchi HKS Hyper-drager sudah tersemat diperut lori.

"Alahai Amy... kereta kita Amy oi..!" Mangsa yang sedang terduduk dibahagian dalam gril rumah menangis melihatkan keretanya yang kini hanya tinggal rangka dan chassis. Meter elektronik, racing chip, papan pemuka kereta dan segala isinya pun kena rembat.

"Jom gerak!" Jamal menjerit sambil melambaikan tangan pada si mangsa.

2 jam kemudian baru polis sampai ke tempat kejadian dan sampai ke pagi anggota polis yang tiba kena maki oleh mangsa yang masih tidak boleh nak keluar dari rumahnya sendiri.

---

"Hahahahaha. Luorang semua memang bagus buat kerja!" Jamal gembira.

"Nah ambik seorang lima ratus ringgit."

"Wey jeez, satu malam dapat lima ratus bro! Kalau ada job macam ni lagi, jangan lupa panggil aku jeez." Manjit Singh bercakap sambil tersengih-sengih mengira wang.

"Harus luorang semua ingat, projek ini takkan berjaya kalau bukan kerana perancangan dan idea si Johan." Jamal menepuk-nepuk bahu Johan.

Rebung yang memang sudah rosak, dah jadi buluh pun ia masih rosak. Johan mempunyai otak yang cerdas tetapi hanya disaluran yang tidak betol. Di sekolah dia sering dapat 'F'. Walau bagaimana pun sejak malam projek 'Mitsubishi Lancer Evo 1' itu Johan sentiasa mendapat tempat dihati Jamal Lembu hingga ke akhir hayat.

---

"Kenapa tuan tak keluar dari rumah ketika mendengar mangsa menjerit 'tolong' malam tadi?" Soalan Koperal Zul, polis yang menjalankan siasatan kes rompakan Jamal.

"Bukan saya tak mahu keluar tolong, tapi memang selalu sangat jiran saya tu menjerit minta tolong bila mereka suami-isteri bergaduh." Jawapan jiran sebelah rumah mangsa secara berbisik pada polis.

---------- bersambung ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1: Kamal
Johan & Joey - Vol #1: Ekspedisi
Johan & Joey - Vol #1: Mata-mata
Johan & Joey - Vol #1:  Jamal Lembu
Johan & Joey - Vol #1:  Abstrak

Monday, September 26, 2011

There Is Something About Malays

There is always something about being a Malay that baffles me.

Back when I was at school, different people from various nationalities will always have a Malay to end a quarrel. Well, most of the time the quarrel was trivial between Arabs and at the end of the day a Malaysian would always be a respected mediator.

A Pakistani grocer once told me that I can credit goods from his shop, anytime but he will never give credit to his own people.

During prayers, the majority middle east makmum will always welcome a Malay imam because we read the Quran better than them.

What is it in us that makes us Malays so lovable?

Friday, September 23, 2011

Sime Darby & Guthrie


Sime Darby dan Guthrie dahulu ialah antara dua syarikat perladangan yang sangat besar didunia. Sekarang tak tahu lah jika statistik ini masih sah tetapi yang saya tahu Guthrie dah kena pengap dengan Sime Darby. Jadi tinggal lah Sime Darby sahaja yang terkontang kanting di BSKL.

Pejabat saya berhampiran dengan pejabat baru Sime Darby Properties di Subang dan kerana perpindahan mereka ke pejabat baru mereka itu maka jalan ke pejabat saya semakin sesak diwaktu pagi. Macam haram jadah punya sesak.

Setiap kali saya nampak logo Sime Darby berdekatan, maka terfikirlah saya tentang jumlah hartanah yang berada didalam pegangan Sime Darby dan saya secara mental akan menjerit, "Fuiyo!"

Saudara-saudari tengok sahaja lah di Mont Kiara tu. KLGCC, kelab golf yang paling tersohor dan ter elite di Malaysia ialah kepunyaan Sime Darby. Kalau kelab golf itu dipecah dan dibuat projek perumahan diatasnya, saya rasa pulangan sekurang-kurangnya 5 billion ringgit! (Saya agaklah).

Kaya, kaya, kaya.

Maklumlah Kuala Lumpur dan sebahagian besar dari Malaysia ini dahulunya kawasan ladang yang dipunyai oleh penjajah British. Sudah tentulah syarikat seperti Sime Darby dan Guthrie ni banyak tanah di tempat yang dahulunya tempat nyamuk, ular dan khinzir membiak tetapi kini ada kawasan tanah itu sudah berubah menjadi tanah 'top of the pops'.

Teringat saya akan kisah bagaimana orang Melayu (menerusi Permodalan Nasional Berhad) mengambil alih syarikat Sime Darby dan Guthrie ini dari tangan British. Malah saya tahu tentang cara pengambil-alihan itu didalam salah satu kelas sewaktu saya belajar diawan biru dahulu. Ia dipanggil "Dawn Raid" dimana PNB telah menggunakan perbezaan waktu di Kuala Lumpur dan London untuk menyerang saham-saham Sime Darby dan Guthrie di FTSE 100, London.

Kalau tidak silap saya, disebabkan oleh cara pengambil-alihan inilah maka sekarang FTSE 100 sudah mengubal undang-undang baru dan teknik 'Dawn Raid' tidak boleh digunapakai lagi.

Terer jugak orang melayu ni sebenarnya.

Mungkin ada yang kata Tun Mahathir menyelewengkan Sime Darby dan Guthrie selepas pengambil-alihan itu tetapi bagi saya setidak-tidaknya ia kini milik orang melayu.

Saya terfikir lagi kalau sekiranya usaha membawa balik hakmilik tanah-tanah kepunyaan Sime Darby dan Guthrie dari tangan British gagal, mana melayu nak letak muka?

Tidak boleh saya gambarkan keadaan orang melayu jika Malaysia merdeka dari penjajahan, komunis dan anasir subversif yang lain tetapi sebahagian besar tanahnya kepunyaan orang bukan melayu. Dahlah sistem matawang sekarang yahudi yang punya dan ekonomi Malaysia ini bukan orang melayu yang punya 100%.

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana membenarkan usaha pengambil-alihan itu.

Juga terima kasih yang tidak terhingga saya kepada Tun Mahathir, Tun Ismail Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Terima kasih sekali lagi.

Wednesday, September 21, 2011

The Edge Rat Race 2011

Semalam saya berada dikawasan Bursa Saham Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Menara Maybank. Ramai orang pakai t-shirt syarikat majikan masing-masing membawa belon dan alat sorak. Saya tahu bahawa BSKL ini ialah penunjuk aras ekonomi semasa negara dimana sekiranya saham di BSKL merudum maknanya ramai pelabur-pelabur terjun bangunan, justeru ekonomi negara bakal goyah. Tetapi, tak kan lah ekonomi Malaysia teruk sangat sampai semua pekerja BSKL jadi 'clown' pergi kerja kut?

Rupa-rupanya, semalam ialah The Edge Rat Race. Acara tahunan untuk pekerja-pekerja kolar biru dan putih berlari didalam pakaian kerja masing-masing. Kalau CEO masuk, mereka akan berlari sambil memakai kemeja bertali-leher dan bersepatu kulit.

Ia dipanggil 'rat race' bukan sebab para peserta pencinta tikus. Rat race ialah larian yang tidak memberi apa apa erti selain dari kerja-kerja amal dan kutipan dari penganjuran ini akan diberikan sebagai 'donation' kepada yang memerlukan. Seperti tikus yang berlari didalam roda makmal ujikaji. Tikus-tikus itu berlari sebagai alat pengumpulan data dalam siri ujian eksperimen untuk kesejahteraan manusia sejagat.

Rat race semalam nampak meriah. Tahun depan saya nak masuk lah larian ni.

Monday, September 19, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 4, Kamal

Kasihnya ibu membawa ke syurga. Itu ialah sebahagian dari lirik lagu klasik yang sering dimainkan diradio dulu-dulu. Saya rasa lirik lagu itu memang tepat. Walau bagaimana nakal pun si anak, si ibu akan tetap membelai dan menyayangi darah dagingnya sendiri. Ibu yang ganas dan jahat juga ada perasaan kasih-sayang pada anak jauh disudut hati mereka.

"Munah! Kau jangan keluar malam ni!" Jeritan ibu Munah kedengaran dari dalam dapur. Munah terjengket-jengket cari kasut nak keluar. Malam ni malam minggu dan pacarnya sedang menanti di kedai kopi pak Samad Arsenal.

Malam ini Munah nekad akan langgar perintah ibu kerana dia tahu, kasih ibu akan masih membawa ke syurga.

"Munah! Siap kau balik nanti!" Laungan yang memecahkan keheningan malam di satu sudut Kg.Cempaka. Munah sudah dalam perjalanan menemui cintanya.

----------

Pak Samad ialah seorang bekas askar. Sebaik saja dia pencen, dia bukak kedai kopi di Kg.Cempaka. Orang tempatan panggil pak Samad 'Arsenal' sebab dia penyokong tegar kelab bolasepak ternama dari England itu. Di atas alang kedainya terentang 'muffler' gambar meriam.

"Nasi goreng ayam, telor mata. Sirap limau satu." Kamal order dengan kaki kiri diatas kerusi, kaki kanan melunjur.

"Kau ni Kamal. Duduk sopan sikit tak boleh ke?" Pak Samad tegur.

Kamal jeling pak Samad.

"Ini karipap ubi ke puff sardin?" Kamal kalih-kalih karipap atas meja.

"Puff sardin?" Pak Samad kerut dahi.

"Rupa macam karipap tapi inti sardin tu." Kamal beri penjelasan.

"Oh, cakap lah karipap sardin. Atas meja tu karipap ubi kentang." Pak Samad jawap.

"Pak mad. Secara teknikalnya, karipap datang dari perkataan mat saleh 'curry puff' yang membawa makna kuih berinti benda kari. Kalau inti bukan kari, tak bolehlah kita panggil karipap." Balas Kamal yang diakui berotak geliga.

"Arsenal malam ni lawan sapa pak mad?" Kamal tanya lagi.

"Lawan Brighton and Hove Albion rasanya. Main home. Charlie Nicholas tengah top sekarang. Asik score aje. Pakcik pun hairan sebab dari cara dia berlari, nampak macam kodi."

"Malam ni mesti menang punya lah." Pak Samad tambah bersemangat.

"Bateri radio spare jangan lupa beli pak mad. Kang tengah sebok tunggu result dari radio 'BBC World Service', bateri lama habis pulak." Kata Kamal terkulat-kulat.

Pak Samad buat tak tahu aje.

Kamal pun gangster besar di Kg.Cempaka. Seteru nombor satu Jamal Lembu. Mereka satu sekolah, berlainan kelas. Kamal kelas satu manakala Jamal kelas pertengahan. Saya? Saya kelas paling last. Sewaktu tingkatan dua, Kamal dan Jamal pernah bertumbuk. Sekali tu aje diorang bertumbuk. Lepas tu tak pernah bertumbuk lagi. Mungkin kerana mereka lebih gemarkan perang psikoloji dan mental. Yer, sakit jiwa kalah perang saraf lebih perit sakitnya.

"Mana geng-geng kau yang lain Kamal? Tak ada projek lah tu."

"Malam ni malam minggu lah pak mad. Saya nak berdating dengan Munah. Saya orang muda, kena lah buat cara muda. Pak mad dah tua kerepot, mana boleh dating. Hahahaha!" Kamal ketawa terbahak-bahak hingga nampak anak tekak.

"Yer lah, aku ni dah tua.." Jawap pak Samad perlahan sambil menyapu taik hidungnya pada bahagian kuning telor mata yang Kamal order.

Sedang Kamal mengunyah makan malamnya dengan begitu pelahap sekali, bayang-bayang Munah menjelma dari kegelapan malam.

"Amcam pak mad? Seksi tak makwe saya?" Kamal naik berahi melihatkan cara Munah berpakaian. "Ada macam Madonna tak pak mad?"

"Ada. Baik kau habiskan makanan kau tu Kamal. Tak baik tinggalkan makanan tanpa diusik." Pak Samad merujuk kepada telor mata yang belum dijamah Kamal.

"Yerlah, yerlah.." Jawap Kamal lantas mencucuk telor mata itu dengan garfu dan telan sekali harung.

"Hah Kahar, kecoh tadi cerita pasal anak kau si Budin tu kena tangkap ponteng sekolah di kawasan tanah perkuburan semalam. Apa ceritanya?" Pak Samad tanya Kahar yang sedang layan perasaan di meja hujung gerai.

"Ntahlah mad. Dah besar nak jadi penggali kubor agaknya budak tu." Jawap Kahar, juara bapa mithali Kg.Cempaka 7 tahun berturut-turut.

Pak Samad tersenyum sorang diri tepi gerai sambil menghembus asap rokok gudang garam arah keatas membentuk huruf "O".

---------- Klik sini untuk kisah seterusnya ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1: Ekspedisi
Johan & Joey - Vol #1: Mata-mata
Johan & Joey - Vol #1:  Jamal Lembu
Johan & Joey - Vol #1:  Abstrak

Thursday, September 15, 2011

Baju Kotor

Salah satu dari pelbagai masalah rumahtangga selain dari pertelingkahan emosi suami isteri ialah penyelenggaraan baju-baju kotor yang perlu dibasuh.

Didalam rumah saya ada 3 bekas besar untuk mengisi baju2 kotor dari kategori yang berbeza.

1) Baju dan seluar orang dewasa.
2) Pakaian budak kecik.
3) Seluar dalam.

Kadang2 saya malas nak masukkan baju kotor saya kedalam bekas yg betol, saya campak saja ikut suka. Atau saya gantung aje belakang pintu sampai kepam atau sampai wife saya tegur. Kalau difikirkan, sepatutnya ada satu bekas untuk sub-kategori baju/seluar putih. Tapi, ada saya kesah?

Management baju ni memang bukan tugas seorang lelaki sejati.

Wednesday, September 14, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 3, Ekspedisi

Pernah seorang kawan menguji kekuatan iman didalam bertawakal dengan melepaskan anaknya yang baru berumur 5 tahun kedalam hutan kemudian mencarinya semula. Ada yang memuji setelah anak itu ditemui tapi saya kata dia gila. Jamal Lembu juga suka menguji anak buah beliau. Ujian Jamal kadangkala melampaui batas kemanusiaan. Walaupun begitu, saya rasa ujian Jamal sangat perlu didalam memantapkan lagi organisasi gangsternya.

"Lah, lu bawak gua gi 7-eleven? Bukan lu ada rokok lagi ke?" Tanya Johan waktu mengikut Joey masuk satu-satunya kedai 7-eleven di Kg.Cempaka. Tekak dia pun agak kering setelah memberikan pendapat tentang berak dalam seluar 5 minit lepas.

"Lu dok diam. Tengok macamana gua buat kerja." Joey bisik ke telinga Johan.

"Selamat petang!" Ucap pekerja di kaunter 7-eleven tatkala melihat Joey dan Johan masuk.

Joey angkat kepala skit pada pekerja itu kemudian mengambil 2 cawan Slurpee, 2 bar Snickers, satu aiskrim Cornetto dan meminta sekotak rokok Benson&Hedges 14 dari pekerja kaunter.

"Rokok Benson 14 ye?"

"Saya menyampah dengan orang yang memandai kata Benson ni rokok jamban. Bagi saya Benson hanya hisapan lelaki sejati dan pilihan kotak 14 adalah pilihan bijak. Rasa Benson yang amat tulen bertambah padu didalam kotak 14. Cara diorang pek kotak 14 tu, lain macam kadar kedapan udaranya dik." Pekerja kedai cuba nak pecahkan kebuntuan petang.

Joey angkat kening kiri dan berbisik, "cakap macam ada pegang saham Benson."

"Penutup cawan saiz ni dan strawnya dah habis ke?" Joey tunjukkan cawan Slurpee saiz besar tiada penutup tanpa straw.

"Benda tu selalu kena rembat lah dik." Jawap pekerja kedai. Joey merengus.

"Semuanya lapan ringgit dua posen dik." Kata pekerja kedai lagi.

"Firdaus. Nama lu Firdaus kan?" Joey kecik kan mata dan fokus pada tag nama pekerja kedai.

"Yer dik. Firdaus Bahari dik." Jawap pekerja kedai.

"Macam ni la Firdaus Bahari. Gua ada sebilah pisau dalam kocek seluar. Tapi gua malas nak keluarkan sebab kalau lu cuba nak jadi hero, gua bagi lu penumbuk sebijik aje dah cukup. Faham?"

Johan terkejut beruk dengan apa yg Joey sedang buat.

"Ni rompakan ke?" Soal Firdaus.

"Hmm..kalau lu nak panggil ini sebagai rompakan, ikut suka lu lah bro. Tapi gua lebih gemar untuk mentafsirkannya sebagai suatu ekspedisi."

"Ekspedisi dalam mencari suatu pengalaman baru. Pengalaman yang menyirapkan adrenalin didalam badan. Seperti dadah." Joey berfalsafah.

Firdaus mengganga. Johan Menggangga. Joey punya mulut terngangga sedikit, menggangga stail gangster.

"Dik, saya tak pernah jumpa perompak berseni macam adik."

"Ambillah semua duit dalam kaunter ini. Tapi sebelum tu kalau boleh, adik dgn kawan adik tolong pandang ke arah cctv sana. Jadi, manager saya tak ingat saya bersekongkol pulak." Firdaus toleh keatas rak rokok.

Joey dan Johan mendongak tepat kearah kamera. Johan sengih buat aksi 'peace' dengan jari kemudian diarah oleh Joey untuk 'clear' kan kaunter duit.

"Syiling lima sen tu tak payah lah amik. Lu ni pun. Mana ada orang guna lima sen lagi?" Joey menegur Johan sambil jeling kamera.

"Ok dah. Jom celah." Joey kasi isyarat.

"Adik." Firdaus memanggil Joey yang baru menolak pintu kedai untuk keluar.

"Jaga diri bila berekspedisi lagi nanti dik." Kata Firdaus sambil melambai tangan pada Joey.

Dua tiga tapak diluar kedai 7-eleven tadi Joey tanya, "Amcam? Kalau lu ditugaskan untuk buat kerja-kerja kecik macam tadi, lu boleh handle?"

"Boleh kut."

"Cuma gua rasa pekerja kedai tu tadi gay lah." Tambah Johan.

Joey angguk-angguk macam setuju padahal dalam otak dia berfikir, "Gay ni apa kejadah?"

----------

"Okay. Kereta Mitsubishi Lancer Evo 1? Apa? Lu nak sparepart dia sahaja? Orait. Nanti confirmkan dengan gua balik." Jamal letak ganggang talipon mudah alih Ericson model generasi pertama.

Antara tugas pertama yang Joey kena lakukan untuk Jamal dahulu ialah tukang angkat talipon mudah alih besar tong gas ni lah. Kehulu kehilir Joey kena angkat benda tu. Sampai sakit-sakit belakang badan. Sekarang talipon tu tak perlu diangkat lagi. Ia kini menjadi sebahagian dari perkakasan dalam kedai Ah Fook.

"Joey, kau tolong pastikan Johan dah ready."

"Kuppu, lu tolong gua cari pomen kereta racing yang terbaik di Kg.Cempaka ni. Kita ada job. Dalam minggu depan projek tu jalan. Tapi kita kena fikirkan sikit macamana nak buat. Ini bukan projek mudah macam projek UMNO." Jamal punya suara serak-serak basah kerana malam sebelum itu dia pergi jamming.

---------- Klik sini untuk kisah seterusnya ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1: Mata-mata
Johan & Joey - Vol #1:  Jamal Lembu
Johan & Joey - Vol #1:  Abstrak

Monday, September 12, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 2, Mata-mata

"Gedegang!" Bunyi mesin kuda ditendang Johan.

"Tiuuu! Itu mesin rosak, lu ganti! Tak tau baca ka?" Ah Fook mengeluarkan kata-kata amaran yang sudah menjadi standard kepada pelabur-pelabur mesin no.4. Mesin no.4 ialah mesin 'cash cow' kedai dia. Diatas mesin no.4 terpampang sekeping notis 'Jangan Menendang Ini Mesin'.

"Celaka punya mesin. Dah dua hari gua melabur, sekali haram pun dia tak mau kasi. Babi!" Johan jerit arah mesin yang baru sahaja dia tendang tadi macam orang bodoh.

Jamal perhatikan gelagat Johan dari meja snooker no.8.

"Dekat sebulan gua tengok kutu tu dok belasah mesin no.4. Banyak dah dia habis gua rasa. Kurang-kurang RM2,000." Jamal buka mulut. Kuppu yang baru nak 'pot' bola snooker hitam mengangkat kepala kearah mesin yang dimaksudkan.

"Joey, kau tau tugas kau?" Jamal cuit Joey dirusuk kiri dan Joey menggangguk.

Joey keluar ikut pintu rahsia dibelakang kedai. 2 minit kemudian muncul di pintu masuk, terus berdiri disebelah Johan dan memasukkan beberapa keping syiling kedalam mesin no.4. Kelihatan Johan menegur Joey kerana tindakan itu sampai keningnya memenyek tetapi selepas diayat oleh Joey, Johan diam.

Jamal cekap didalam memilih kawan. Dia bagai ada alat sulit yang membolehkan dia tahu perangai dan tabiat seseorang. Mana satu kaca, mana satu permata. Kalau Jamal jadi ahli psikiatri, pasti dia kaya raya.

Jamal sedang fokus mengamati sambil mendengar perbualan Joey menguji Johan.

Jamal pernah cakap, Johan ini ialah seorang yang rasional walaupun didalam keadaan tertekan. Seorang yang menghitung risiko secara waras waktu terdesak.

----------

"Budak tu baru tinggal kawasan ini ke?" Jamal menyoal Joey selepas Johan blah.

"Ha'ah. Johan namanya. Bapak dia polis pangkat DSP baru ditempatkan di Balai Kg.Cempaka." Joey jawap pantas.

"Kau memang bagus Joey. Aku bangga. Tapi satu benda aku nak pesan dengan kau. Tolonglah jangan guna perkataan ha'ah bila bercakap. Macam budak kecik." Jamal memberi nasihat.

"Sekarang, kau ada tugas baru. Kau tolong berkawan dengan si Johan ni rapat-rapat." Jamal mengarahkan Joey dengan jari telunjuk kanannya bertaup dengan jari telunjuk kiri. Dalam kepala Jamal, dia sudah ada kaki dalam balai. Kaki yang kuat manakala Johan ialah sendi yang memegang kaki itu.

"Nama penuh dia apa?" Jamal tanya lagi.

"Johan. Johan Bin Sidek." Joey balas sambil membaca kad pengenalan Johan ditangan kanan dengan tangan kiri mencampak dompet Johan kedalam tong sampah. Biji mata Joey macam nak tersembul bila terbaca tarikh dan tempat lahir Johan. Sebijik macam dia.

"Kau bagus Joey. Memang bagus."

"Mata-mata DSP Sidek." Jamal berbisik pada dirinya sendiri sambil cuba mengenal pasti lagu yang Ah Fook sedang pasang.

"Ah Fook! Kasi kuat itu volume!" Jamal menjerit lantang.

Lagu "Ada Sepasang Mata" nyanyian kumpulan Kembara menyelimuti kedai Ah Fook dengan Jamal asik-asik tersenyum, asik-asik tersenyum.

----- (2 minggu kemudian) -----

"Gua lebih selesa buang air besar kat rumah", Ujar Johan sambil 'adjust parking' seluar.

"Tapi kalau dah terpaksa, dalam kereta pun gua boh aje." Tambahnya lagi.

"Gua tak faham apa masalah orang yang sanggup tahan sakit nak terberak atas alasan konon-kononnya tak nak kasi orang lain terganggu dengan bau najis dia. Dah nak terberak sangat, berak aje lah". Johan kelihatan sudah naik 'syeh'.

Joey angguk-angguk, bersetuju.

"Tapi etika berak dalam seluar haruslah kutu tu follow pulak. Jangan lah main berak dalam seluar secara membuta-tuli."

"2 benda harus kutu berak dalam seluar ingat. Pertama, lepas terberak waktu memandu jangan sesekali lenyekkan taik yang terkumpul dalam spender tu dengan main duduk aje terus atas kerusi. Bontot tu kenalah dia angkat sedikit. Kedua, spender yang kotor tadi janganlah dilempar semberono atas lantai tandas awam. Basuh kan dahulu kemudian buang dalam tong sampah".

"Eh, kemana lu nak bawa gua ni Joey?" Johan tiba-tiba macam tersentak selepas membebel tak tentu hala.

"Adalah. Ikut aje gua bro". Joey senyum.

---------- Klik disini untuk kisah seterusnya ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1:  Jamal Lembu
Johan & Joey - Vol #1:  Abstrak

Saturday, September 10, 2011

Prinsip Hidup

Saya yakin bahawa segala jenis sistem perbankan ada terselit unsur riba. Saya tak suka riba tapi didalam dunia akhir zaman ini adalah agak mustahil untuk tidak ada akaun bank.

Alhamdullilah, saya dianugerahkan otak yang tak berapa bengap. Habis belajar, saya susah dapat kerja. Hari-hari saya curi duit syiling yang mak saya letak dalam botol kecil atas para dapur buat beli rokok bukak di kedai abang pen. Hidup saya sempit. Saya terkedek-kedek kesana dan kemari tanpa duit sendiri dikocek.

Satu hari, saya dipanggil interview oleh sebuah bank. Saya berjaya dalam temuduga itu dan dipilih bekerja sebagai pegawai eksekutif dan harus pergi kerja pakai tali leher dan kasut kulit. Gaji starting masa itu RM1800. Cawangan bank itu mengadap Masjid Jamek, KL.

Bukan main suka lah saya. Terus pasang angan2 nak beli kereta, duduk menyewa sendiri, bebas, hisap rokok kotak besar siap lighter dan boleh makan McDonalds hari-hari sambil cari awek.

Di pagi yang sepatutnya saya repot duti, setibanya saya di depan pintu bank, saya berhenti. Saya pusing balik menuju kearah Masjid Jamek dan lepak disitu. Fikiran saya berkecamuk. Saya benci riba dan tahu riba itu dosa dan benci akan perjuangan sebuah bank tapi saya sendiri akan bekerja di bank, riba 'king'. Apa ni? Dimanakah prinsip hidup saya?

Saya buka tali leher, naik bas pulang ke rumah. Setibanya dirumah, saya curi syiling mak saya di atas para dapur dan pergi beli rokok bukak. Beberapa bulan lepas itu, saya tolong member di kafe sibernya gaji RM600 sebulan dan jual sandwich untuk dapat duit lebih.

Biar hidup tak ada berduit, jangan hidup tak ada prinsip.

Wednesday, September 07, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 1, Jamal Lembu

Jamal Lembu ialah seorang gangster. Walaupun baru berumur 17 tahun, dia dah banyak kali pecah masuk rumah, kedai dan kilang. Semua hasil rompakannya akan dikongsi bersama anak-anak buah beliau yang ada lima ke enam orang, termasuklah Joey. Jumlah anak buah geng Jamal ni pun tak tentu sangat. Pernah satu masa tu mencecah sampai 10 orang tapi lepas habis PMR, jumlah itu turun ke 4 orang. Ramai masuk sekolah berasrama penuh agak Jamal. Masuk tahun ini, dah 2 tahun Joey ikut Jamal. Bukannya ada surat perlantikan untuk jadi ahli geng Jamal. Untuk mendapat pengiktirafan menjadi ahli, seseorang hanya perlu bergaul dengan mereka.

Dari jauh lagi geng Jamal perhatikan seorang budak berjersi MU dan berkasut bola Reebok design macam kek harijadi masih berbau kedai, jalan kearah mereka yang sedang asyik main bola bertiang golkan kon keselamatan jalanraya.

"Amcam mal? Kau rasa budak 'go go MU' ni boleh pakai?" Soal Joey pada Jamal. Jamal yang memakai baju Liverpool penaja Candy menyongket-nyongket bola pakai hujung kaki, skill Maradona yang dia tiru dari majalah 'Bolasepak'.

"Kau tau tugas kau kan?" Jamal memberi isyarat jari pada Joey.

Joey akur.

"Boleh saya join bang?" Tanya budak jersi MU tadi.

"Boleh." Jawap Joey ringkas.

Baru dua kali budak MU tu pegang bola, "Prapppp", kaki dia Joey kacis. Tumbang macam nangka.

Dua tiga kali selepas itu, "praapppp prapppap paaap!" Kaki budak MU kena kacis lagi. Dia bingkas bangun lalu menolak Joey dibahu, "apahal ni bang? Cari pasal nampak!"

"Lu nampak budak2 kecik hujung padang belah sana kan? Baik lu main dengan budak sana tu. Ini bukan tempat lu dik." Jamal bersuara dari jauh.

Budak MU itu terkedek-kedek blah.

"Cantik kasut!" Suara geng Jamal mengutuk kasut bola budak MU yang sedang beredar.

Jamal pandang Kuppu, orang kuatnya kemudian berkata, "sokong MU, gua dah boleh agak dah."

Kalau nak bergaul pun gagal, nak jadi ahli kumpulan lagi lah hancur. Ikatan persahabatan harus ada sebelum boleh jadi ahli. Oleh sebab inilah, kepercayaan lebih utama dari sumbangan tenaga didalam geng Jamal. Kerana ini jugalah, amat sukar untuk menangkap mereka.

----------

Kedai mesin kuda dan judi Ah Fook atas kedai foto Kg.Cempaka merupakan ibu pejabat pergerakan geng Jamal Lembu. Ia dibuka 24/7/360. Lima hari cuti Gong Xi Fa Cai. Disinilah tempat mereka banyak menghabiskan masa minum teh tarik bungkus ikat tepi, bawa awek lepak, main snooker dan berjudi mesin kuda/jackpot. Ah Fook tidak gemar kedai mesin judi beliau sepi. Dia akan sentiasa memasang lagu-lagu tidak kira bahasa apa sekalipun untuk memuaskan nafsu bunyinya.

Ah Fook menekan butang 'open' dan memasukkan kaset kumpulan Wings kedalam pemain kaset jenama Bombeat. Suara Awie mencanak.

"Oi Ah Fook, apa ranchuk punya lagu lu pasang ni?" Jamal menjerit dari dalam bucu kedai. Bahagian kedai yang paling stratejik, gelap dan berasap.

"Lu tak tau ka? Ini kumpulan manyak syiok ooo. Dia lagu aaa, wah lauuu... Lu kasi dengar dulu maaa!" Ah Fook jawap.

"Kepala otak lu la Fook. Lu kasi stop itu kaset sekarang. Ni lagu rock mat cintan maa."

"Sekarang, lu kasi pasang ini kaset. Sikit jam Joey pass sama lu." Jamal menghulurkan kepada Joey satu kaset lagu.

"Joey, kau tolong pass kat apek tu jap."

Inilah kelebihan Jamal. Kalau dia nak minta anak buah dia buat kerja, dia akan guna perkataan 'tolong' dalam nada yang tidak keras, gemalai dan syahdu. Sesapa yang dengar, pasti akan menurut.

Irama lagu nyanyian kumpulan Kembara dengan suara M.Nasir berkumandang didalam kedai Ah Fook. Pengunjung lain saling pandang memandang diantara satu sama lain sambil mencebikkan bibir. Dari jauh kelihatan mulut Jamal kumat-kamit mengikut senikata lagu, "berjalan ditanah gersang, mentari mencengkam dada, debu-debu dijalanan, menjadi teman setia ...."

----------

Rata-ratanya geng Jamal ini budak-budak belasan tahun. Cuma ada seorang sahaja yang sudah agak lanjut usia, Kuppu yang berumur 20 tahun. Seorang india yang malas nak bercampur dengan kaum sejenisnya.

"Tambi, kasi kira." Kuppu meletakkan beberapa barangan kebersihan diri diatas kaunter kedai runcit Sami. Sami si tauke di kaunter sedang sebok berborak dengan seorang rakan lagi berbangsa india yang tengah seronok memilih barang diatas rak.

2 minit berlalu dan Sami masih berborak dengan kawannya itu ibarat Kuppu tiada depan mata. Kuppu renung tajam muka Sami.

"Hoi Sami, aku suruh kau kira! Kau nak mampos ke?" Kuppu hilang sabar. Sami terkebil-kebil mengira.

"Lapan belas ringgit."

Kuppu lebih senang bercampur dengan melayu. Kuppu juga sangat fasih berbahasa melayu.

"Pakcik rasa saya ini india ke melayu?" Pernah Kuppu menyoal seorang tua berbangsa cina yang sedang serius berjudi mesin jack pot disebelahnya sambil menjeling arah Jamal.

"Melayu hitam." Jawap orang tua itu, sekilas memandang wajah Kuppu.

Semua orang ketawa dan orang tua tadi terpinga-pinga.

----------

Sudah beberapa kali Jamal hampir ditangkap polis. Macam-macam jenis polis pernah kejar Jamal dengan menaiki pelbagai bentuk kenderaan. Motor, kereta, van dan pacuan 4 roda. Yang peliknya, polis-polis ini tidak tahu ke dimana Jamal tinggal? Jamal pula hanya lari menggunakan tulang empat kerat. Susup sasap Jamal melesapkan diri diantara lorong-lorong kedai di Kg.Cempaka.

"Bola satu kepada bola dia, over. Maaf. Bola satu kepada bola DUA, over." Polis bola satu tersengih-sengih, menutup mulut tahan ketawa sambil pandang rakan disebelahnya dalam kereta peronda plat WAB 7622, memecahkan kesangapan dalam kereta dengan bar cahaya biru kereta peronda bersilau-silau memotong gelap malam.

"Saspek berjaya melarikan diri, over." Polis bola dua menjawap.

"Roger, over and out." Polis bola satu balas.

"Si Zul botak ni memang bangkai. Pakai kereta peronda Proton enjin Magma yang baru register pun tak boleh nak kejar Jamal Lembu. Padahal lembu tu lari pakai kaki aje." Polis bola satu meluahkan rasa kekecewaannya terhadap Zul, polis bola dua.

Saya faham keluhan polis bola satu itu. Proton Magma ialah jenama kereta Proton yang terbaik didalam kesemua keluaran kereta Proton, sampailah sekarang. Yang mereka tidak tahu ialah fakta bahawa Jamal Lembu bukan sembarangan gangster. Dia bakal gangster kelas pertama.

---------- Klik disini untuk kisah seterusnya ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1 - Abstrak

Tuesday, September 06, 2011

Jaga Kucing & Jaga Budak

Sekarang ini semua orang kecoh pasal "Cat Hotel" yang ibarat neraka bagi kucing-kucing. Saya memahami keperitan yang dirasai oleh pencinta-pencinta kucing walaupun saya bengang dengan kucing pakcik jiran rumah yang sering berak depan rumah saya.

Bagi saya, masyarakat harus lebih prihatin dengan masalah pusat penjagaan budak-budak yang jauh lebih kronik dari kes hotel kucing ini.

Sunday, September 04, 2011

Johan & Joey - Vol #1, Abstrak

"Usop, berhenti di tepi ni sekejap. Saya nak tengok sesuatu." Saya mengarahkan pemandu saya menghalakan Mercedes-Benz CLS350 yang dipandunya kearah tapak bekas deretan kedai di Kg.Cempaka.

Keluar dari kereta, saya berdiri diatas sebuah runtuhan batu blok yang mengadap KLCC. Saya termenung jauh lantas menitiskan air mata sebelum tersenyum.

Fikiran saya melayang ke suatu masa dahulu. Zaman dimana kawasan itu hanya ada Johan & Joey.


----- flashback ke 20 tahun dahulu -----


"Gua Joey", kata Zulzastri kepada Johan tanpa menghulur tangan. Kutu mana reti bersalam.

"Johan", jawap Johan mengangkat kening.

Zulzastri dan Johan akan menjadi dua sahabat karib. Pertama kali mereka bertemu ialah disebuah kedai mesin kuda.

----- (Tiga puluh minit sebelum Johan dan Joey bersalaman) -----

Johan yang bersaiz badan lebih kecil dari Joey usai memasukkan 3 keping syiling seringgit kedalam mesin dan menekan butang 1-5. Kalau tekaan Johan betul, dia dapat 15 ringgit. Itu duit Johan yang terakhir untuk sessi kali ini. Rokok pun tinggal sebatang dalam kotak. Sedang Johan mengetuk-ngetuk cermin mesin menunggu kuda elektroniknya masuk petak lumba dan melayan trompet lagu 'lumba kuda akan mula sebentar lagi', tiba-tiba Joey menyelinap masuk kedai lalu terus memasukkan 2 keping seringgit kedalam mesin dan menekan butang 1-3.

"Wey, apa ni? Kasi la kuda gua jalan dulu bro." Johan bersuara keras. Tak puas hati.

Mesin kuda ni resminya senang. Sapa yang mesin itu akan kasi menang harus yang paling sedikit. Dalam kes ini, Joey lah yang akan menang.

Joey tenung muka Johan. Mata Joey bersinar didalam kegelapan kedai kuda. Mata kelihatan jauh lagi tua dari umurnya yang baru mencecah 14.

"Rilek lah bro." Kata Joey tenang.

"Kalau gua kena, kita split 50-50." Kata Joey tersenyum.

"Lu pulang modal. Gua untung seringgit. Orait?" Tambah Joey.

Kuda 2-5 menang dan mereka berdua ketawa besar kerana kedua-dua mereka rugi. Itulah permulaan cerita tentang persahabatan, kepercayaan dan pengorbanan dua rakan karib. Nama saya Ahmad. Saya hanya seorang jiran dan ini kisah mereka.

---------- Klik disini untuk kisah seterusnya ----------


Friday, September 02, 2011

Magnet Peti Sejuk

Bila saya dah bercucu nanti, saya mahu blog ini jadi seperti magnet peti sejuk kepada cucu-cucu saya. Lambang dan tanda bahawa saya wujud dan pernah merasai kemodenan alam maya dengan coretan-coretan comel dan asli.

Selesai membaca, mereka akan kata "atuk aku memang seorang Prime".