Monday, July 30, 2012

Illuminati

Saya ada seorang sahabat yang suatu ketika dahulu sangat gemar mendalami kegiatan illuminati, freemasonry, zionism dan bebenda yang berkaitan dengan yahudi. Ketika itu orang melayu dihubungkan dengan internet hanya melalui modem. Modem paling power ialah US Robotics V.92. Apabila anda mendial ISP samada Jaring atau TMNET, modem akan berbunyi, "toing, toing, tetetoing, toing, berrzzkkkk, toing". Antara TMNET dan Jaring, bunyi toing toing nya agak berbeza tetapi ia masih bunyi yang sangat indah.




Anyway, sahabat saya itu akan membaca setiap laman web yang berkaitan dengan perkara diatas. Siapa mereka, apa agenda mereka, dimana mereka dan sebagainya. Mana-mana dokumen yang boleh dia muat-turun, dia akan muat-turun. Kadang-kadang sehingga berejam-jam hanya untuk satu article bersaiz 15MB. Tapi dek kerana suka dan sifat ingin tahu yang membuak-buak, dia cekal. Dulu tiada wikipedia.

Disuatu hari yang indah, dizaman yang amat susah untuk menjadi salesman Perodua kerana komisyen jual kereta Kancil sahaja boleh mencecah RM30,000 sebulan menjadikan profession itu sangat digemari mat rempit, sahabat saya tadi telah menerima sepucuk surat beralamatkan rumahnya dari Amerika Syarikat yang tiada mengandungi apa-apa selain dari sekeping duit satu (1) USDollar. Mulai dari saat itu, dia berhenti mendalami perkara berkenaan illuminati lagi.

Thursday, July 19, 2012

Makcik Ground Floor

Hari-hari bekerja saya akan hantar anak saya ke babysitter yang berhampiran dengan pejabat. Rumah baby sitter itu di pangsapuri biasa-biasa dan berada di tingkat 2.

Letih juga mendukung anak naik tangga/turun tangga hari-hari. Bila hari hujan, lagi lah saya tension.

Di ground floor pangsapuri babysitter itu, ada seorang makcik yang berumur lewat 40an. Dia sangat peramah dan setiap kali terserempak dengan saya dan anak saya, beliau akan menegur kami sambil tersenyum. Kelihatan dia sangat ceria. Tak pernah saya nampak dia murung atau masam muka.

Suatu hari, saya sarapan dengan anak di restoran bersebelahan pangsapuri babysitter. Duduk di tepi kami ialah makcik ground floor tersebut. Seperti biasa, dia akan menegur bermain-main dengan Adam.

Kemudian dia mula bercerita.

"Makcik minum teh tarik gelas kecik ni sekali seminggu aje nak. Maksud makcik, ini sahaja air yang makcik minum untuk seminggu. Makcik ada sakit buah pinggang. Seminggu tiga kali makcik berulang ke pusat dialisis di Petaling Jaya."



Saya terngangga. Saya minum 3 liter air sehari, itu pun masih dahaga.

"Jarang makcik makan nasi. Bila nasi cerna dalam perut, ia hasilkan air. Jadi makcik makan roti hari hari. Kadang-kadang makcik dah rindu nasik, makcik makan sikit." Raut wajah makcik masih ceria walau menceritakan kepahitan hidup.

Saya jadi lesu.

Melihat kan muka saya yang sudah tak lalu nak makan, makcik tu sambung lagi bercerita.

"Doktor kata umur makcik ni memang panjang sebab ramai yang kes kronik macam makcik ni maksimum pun 15 tahun sahaja hidup. Tangan kanan makcik ni dah hampir lumpuh sebab tak ada tempat nak cucuk untuk dialisis. Dah 20 tahun makcik macam ni nak. Makcik dah tak kesah. "


Makcik ground floor masih tetap tersenyum dalam bercerita.

Mulai dari saat itu, saya pastikan supaya saya sentiasa bersyukur dengan kesihatan yang Tuhan berikan kepada kami sekeluarga dan jika saya murung, saya akan teringatkan makcik ground floor yang tetap tersenyum dalam perit-jerih menempuh kesakitan harinya selama 20 tahun itu dan saya akan ikut senyum.

Wednesday, July 18, 2012

Layu - Malique




Dulu saya jarang mendengar muzik Malique (ex-Too Phat) tapi sekarang makin kerap pula saya layan.

Bagus lirik dia.

Keep it up. 

Thursday, July 12, 2012

AIA

Semasa saya sedang menunggu keputusan SPM dahulu, saya telah mengambil keputusan untuk mencari kerja sementara. Ada rakan-rakan mengajak saya menjadi pam attenden, tapi saya tak mahu. Bukan kerana kerja itu jijik tetapi kerana saya tak tahan nak bau petrol lama-lama. Boleh jadi mereng.

Berbeza dari rakan yang lain, saya mendaftar di sebuah agensi pekerjaan di bangunan Cahaya Suria. Kawan juga yang rekemen agensi tu. Waktu saya masuk, seorang ahso sedang sebok membelek suratkhabar cina.

"You mau kerja ofisboy?". Tanya ahso. 

"Boleh jugak. Tapi saya takde lesen motor dan kereta". Saya balas.

"Ok, ok. Sekarang you bayar RM100 duit pendaftaran kemudian pergi bangunan AIA, Jalan Ampang sana. Jumpa ini orang." Ahso hulur sekeping surat kepada saya. Selesai bayar, saya pun bergegas pergi.



Habis sahaja ditemubual oleh orang yang ahso tadi suruh jumpa, saya terus diminta bekerja. Macam-macam kerja saya kena buat tapi lebih kepada kerja kuli lah. Angkat barang, susun barang, clear store, beli nasi bungkus akak sebelah meja dan macam-macam lagi.

Dua minggu saya bekerja macam itu. Masuk minggu yang kedua, saya diminta membuat kerja yang lebih advance. Seperti mengisi borang pakai pen dan menyimpan borang itu mengikut susunan yang telah ditentukan oleh boss.

Satu hari, sorang kakak ni minta tolong saya taip surat pakai typewriter (zaman itu, komputer belum canggih). Saya boleh menaip sebab arwah abah saya dahulu ada sebiji. Waktu kecik memang saya selalu main taip-taip pakai mesin taip. Kakak itu sedang menggelabah kerana kerja dia banyak sangat dan surat itu sangatlah urgent.

Saya pun terus menaip surat yang kakak tadi minta. Bila tersilap, saya akan 'blanco'. Banyak betul 'blanco' atas surat itu. Usai menaip, saya hantar surat itu kepada boss besar, seperti yang kakak itu pinta.

Boss besar saya mengetap bibir apabila melihat surat yang saya taip itu dan terus memanggil kakak tadi. Dihadapan saya kakak itu dimarahi. Saya keluar bilik boss besar dan sewaktu membelakangkan bilik itu, kedengaran kakak tadi kena tampar. Saya sangat sedih kerana kesalahan saya, kakak itu pula kena.

Esoknya saya malas nak pergi kerja. Sampai sekarang saya tak pernah jejakkan kaki di AIA lagi.

Thursday, July 05, 2012

Ahad Lepas, Adik Ipar Saya Kawin

Selamat pengantin baru ika (atau nama glamour ko dik, Maya).


Tuesday, July 03, 2012

Doktor Yang Hebat

Pediatrician yang sejak dari dahulu lagi merawat anak saya ialah Dato Dr Musa Mohd Nordin. Beliau bertugas di unit kanak-kanak Damansara Specialist Hospital.


Isnin lepas saya membawa anak saya yang kini berusia 2 tahun berjumpa beliau untuk mendapatkan vaksin hepatitis B, mengikut jadual.

Selesai timbang berat, ukur tinggi dan vaksin yang mengambil masa 45 saat, kami berborak kosong dan dia mula membuka cerita tentang pengalamannya bersama kumpulan NGO 'Viva Palestine' yang banyak menjalankan kegiatan membantu orang-orang Palestine di semenanjung Gaza. Dia baru pulang dari Gaza minggu sudah dalam proses membekal peralatan perubatan dan makanan berjumlah RM1juta.

"Sehari sebelum kami tiba, jet pejuang Israel mengebom Gaza dan 8 maut.

"3 hari saya di sana, Alhamdullillah tiada pengeboman. Kami diberitahu, sehari selepas kami pulang ke Malaysia, Gaza dibedil lagi.

"Macamana nak lawan jet pejuang yahudi jika mereka hanya bersenjatakan senapang buruk? Apa yang kita boleh buat hanya memberikan mereka bantuan. Kita beri lembu untuk mereka ternak. Mereka pun sekarang dah boleh berdikari. Yahudi tak benarkan mereka kelaut untuk menangkap ikan, mereka buat kolam dan ternak ikan. Alhamdulillah."

Ayat yang mengakhiri perbualan kami.

Saya tenung muka Dr Musa lama. Sebelum keluar dari biliknya saya mengucapkan terima kasih dan terus menuju ke kaunter pembayaran.

"155 ringgit ye encik", pinta kerani di kaunter. Kali ini, sedikit pun saya tidak mengomel ketika membayar.