Thursday, July 12, 2012

AIA

Semasa saya sedang menunggu keputusan SPM dahulu, saya telah mengambil keputusan untuk mencari kerja sementara. Ada rakan-rakan mengajak saya menjadi pam attenden, tapi saya tak mahu. Bukan kerana kerja itu jijik tetapi kerana saya tak tahan nak bau petrol lama-lama. Boleh jadi mereng.

Berbeza dari rakan yang lain, saya mendaftar di sebuah agensi pekerjaan di bangunan Cahaya Suria. Kawan juga yang rekemen agensi tu. Waktu saya masuk, seorang ahso sedang sebok membelek suratkhabar cina.

"You mau kerja ofisboy?". Tanya ahso. 

"Boleh jugak. Tapi saya takde lesen motor dan kereta". Saya balas.

"Ok, ok. Sekarang you bayar RM100 duit pendaftaran kemudian pergi bangunan AIA, Jalan Ampang sana. Jumpa ini orang." Ahso hulur sekeping surat kepada saya. Selesai bayar, saya pun bergegas pergi.



Habis sahaja ditemubual oleh orang yang ahso tadi suruh jumpa, saya terus diminta bekerja. Macam-macam kerja saya kena buat tapi lebih kepada kerja kuli lah. Angkat barang, susun barang, clear store, beli nasi bungkus akak sebelah meja dan macam-macam lagi.

Dua minggu saya bekerja macam itu. Masuk minggu yang kedua, saya diminta membuat kerja yang lebih advance. Seperti mengisi borang pakai pen dan menyimpan borang itu mengikut susunan yang telah ditentukan oleh boss.

Satu hari, sorang kakak ni minta tolong saya taip surat pakai typewriter (zaman itu, komputer belum canggih). Saya boleh menaip sebab arwah abah saya dahulu ada sebiji. Waktu kecik memang saya selalu main taip-taip pakai mesin taip. Kakak itu sedang menggelabah kerana kerja dia banyak sangat dan surat itu sangatlah urgent.

Saya pun terus menaip surat yang kakak tadi minta. Bila tersilap, saya akan 'blanco'. Banyak betul 'blanco' atas surat itu. Usai menaip, saya hantar surat itu kepada boss besar, seperti yang kakak itu pinta.

Boss besar saya mengetap bibir apabila melihat surat yang saya taip itu dan terus memanggil kakak tadi. Dihadapan saya kakak itu dimarahi. Saya keluar bilik boss besar dan sewaktu membelakangkan bilik itu, kedengaran kakak tadi kena tampar. Saya sangat sedih kerana kesalahan saya, kakak itu pula kena.

Esoknya saya malas nak pergi kerja. Sampai sekarang saya tak pernah jejakkan kaki di AIA lagi.

3 comments:

  1. apa ko dah buat ..kesian dia sampaikena penampar...
    sebab surat tu bertepek2 dengan blanco ke

    -pak Anon

    ReplyDelete
  2. Lebih kurang macam tu lah geng.

    ReplyDelete