Friday, January 09, 2015

Pemuda Pemuda Misteri

Petang itu hujan sangat lebat. ‘Wiper’ kereta sudah dipulas ke tahap maksimum namun titisan air yang turun kebumi terlalu hebat hingga fungsi ‘wiper’ menjadi sifar. Simpang ke SOGO dari arah Dataran Merdeka sudah sesak dengan kenderaan. Kereta saya tersekat dicelah-celah kesesakan itu. 

Saya benci berada didalam situasi begini, pasrah menunggu giliran mengambil selekoh yang tidak kunjung tiba. Jarum jam bukan mahu berhenti berpusing dan ini menambahkan lagi kegelisahan dihati.

Lambat. Saya tidak mahu lambat.

Tanpa berfikir panjang, saya mengambil tindakan nekad untuk lari dari kesesakan itu dengan mengambil lorong kiri menuju jalan lain. Saya pulas stering, pantas cuba keluar ke lorong sebelah.

“Pummmmm!!”

Bunyi seperti besi bertemu besi, dentuman kuat terngiang-ngiang ditelinga. 

“Apa aku dah buat ni?” Hati saya menjerit.

Didepan mata saya sebuah motor kelihatan sedang menyembah tanah dan terseret ke bahu jalan. Penunggang motor pula menyusul dibelakang, juga bergelungsur menuju bahu jalan yang sama.

“Ya Allah!” Hati saya jadi kelu.

Saya segera menghentikan kereta di sebelah motor yang telah rebah tadi dan cergas mendapatkan si penunggang.

“Sorry! Sorry!" Saya menerpa cuba membangunkan penunggang yang sedang terbaring dengan mukanya nampak terkejut.

“Takpa.. takpa.. ok ok..” Kata si penunggang sambil cuba bangun dan dia ada iras lelaki bangsa Bangladesh. Sikunya berdarah. Baju yang sudah terkoyak dibahagian perut menampakkan sedikit darah. 

“Sorry bang! Mari kita bengkel motor dan kemudian ke klinik”, ajak saya.

“Takpa.. takpa..” si penunggang tadi seperti tidak mahu ke klinik dan ke bengkel. Dia seolah2 mahu lari dari saya mungkin kerana dia tidak ada pengenalan diri yang sah. Mungkin dia seorang PATI.

Tiba-tiba entah dari mana dua orang pemuda yang bermotosikal tercegat berdiri di sebelah saya dan dengan muka yang selamba berkata, “sikit aje rosak motor ni. Depan tu ada bengkel. Pomen tu ketuk gear shifter dan foot rest ni, settle lah.”

Saya tenung muka dua pemuda tadi. Mereka masih memakai topi keledar. Hujan tetap turun dengan lebat. Percikan air hujan yang memantul dari topi keledar mereka tepat menuju ke muka saya. 

“Jom ke bengkel depan tu. Motor ni biar kami tolak. Abang bawa dia naik kereta ikut belakang saya. Dekat je. Dalam 5 minit sampai”, tambah salah seorang dari pemuda misteri tadi dengan memberi isyarat tangan pada si Bangladesh untuk naik kereta.

Lelaki Bangladesh tadi akur dan terinjut-injut naik kereta. 

Benar kata pemuda misteri itu. Tak sampai 5 minit kami sudah di depan bengkel motor di Jalan Ipoh. Pemuda misteri berborak sedikit dengan pomen motor. Pomen mengangguk-ngangguk dan terus mula memomen. Saya jadi curiga.

“Nak pau aku ke ni?” Hati kecil saya berbisik. Saya buat-buat rilex sambil kadang-kadang melihat pada si Bangladesh yang sudah mula mencangkung tepi pintu kedai.

“Lepas siap motor ni, abang kasi dia RM50, suruh dia pergi klinik”, pemuda misteri tadi memberikan saya pendapat tentang apa yang patut dibuat seterusnya. Si Bangladesh nampak setuju dengan cadangan itu. Saya ikut setuju.

Selesai pomen memomen dan si Bangladesh telah pergi menaiki motor dengan duit RM50 didalam kocek, saya berpaling kearah dua pemuda tadi. Mereka sedang tenang menghisap rokok tepi bengkel, menghembuskan asap sambil merenung kereta yang lalu lalang depan kedai.

“Nah bang. Ambil la duit kopi ni sikit”, saya hulurkan sekeping duit RM50 kepada mereka.

“Tak payah. Takpe”. Seorang dari mereka menolak.

“Ambik lah. Duit rokok”, saya berkeras agar mereka ambil.

Sambil tersenyum mereka menolak dengan sopan, naik motor dan terus meninggalkan saya terpinga-pinga depan bengkel.

Sampai ke hari ini jika saya terlihat kemalangan yang melibatkan motorsikal, saya akan terfikir, siapa dua pemuda yang membantu saya pada petang yang malang itu?

2 comments:

  1. kau ada halusinasi? orang tu cuma dalam bayangan van kordi?

    ReplyDelete