Sunday, November 20, 2011

Tulis Skrip

Beberapa hari yang sudah, saya baca blog entry anoneemus ini. It is a good read.

Pada hemat saya, blogger mana yang tidak pernah terfikir untuk menulis skrip ialah blogger yang tidak serius berblog. Saya berblog suka-suki ini pun ada pasang niat nak buat skrip bila ada masa kelapangan, inikan pula mereka yang serius.

Skrip yang bagus menghasilkan cerita yang bagus. Cerita yang bagus ialah cerita yang membuatkan kita sedih, marah, gembira secara halus dan menimbulkan tanda-tanya tanpa kita sedari. Contohnya cerita 'Sanggul Beracun' yang memenangi banyak anugerah baru-baru ini.



Cerita tentang Siti (lakonan Erra Fazira) yang dilahirkan buruk dan bongkok. Dia sering menjadi bahan ejekan masyarakat setempat dan Siti sentiasa menyorokkan rupanya didalam selubung kain kerana takut diejek dan malu. Hanya bapa Siti sahaja yang menyayanginya. Ibu Siti pula meninggalkan Siti dan bapanya selepas melahirkan Siti.

Siti telah disumpah menjadi cantik oleh seorang jin/bunian yang Siti temui secara tidak sengaja didalam belukar. Untuk mengekalkan kecantikan ini Siti harus membunuh 100 orang suaminya yang hanya boleh dinikahi maksima 3 bulan dan jika tidak dibunuh oleh Siti dalam masa 3 bulan itu dia akan kembali buruk, syarat yang Siti sendiri tidak tahu sehinggalah wajahnya telah berubah.

Kecantikan dan sumpahan yang Siti terima ketika dia sedang menangisi kematian bapanya, ketakutan kerana sudah tiada tempat berteduh dan kesedihan akibat tiada tempat untuk bergantung.



Kecantikan yang tidak Siti cari kerana Siti lari kedalam belukar pun setelah dihalau dari rumah sendiri oleh suaminya yang jahat. Suami yang menikahi Siti untuk merampas hartanya yang sedikit. Suaminya itu juga telah membunuh bapa Siti dengan racun dan racun itulah yang digunakan Siti untuk membunuh 99 mangsa beliau yang semuanya jahat, kecuali seorang. Kematian Siti, yang dibunuh suami ke-100nya dengan menggunakan racun yang sama juga tampak sedikit klise tapi amat berkesan.

Cerita ini menimbulkan pelbagai persoalan yang membuatkan akal penonton menjadi bercelaru. Kasihan kepada Siti tetapi pada masa yang sama sifat membunuh Siti atas dasar dendam dan mementingkan kecantikan nampak kejam namun begitu kejahatan peribadi mangsa-mangsa Siti hampir semuanya memang layak untuk dibunuh. Yang tidak enaknya hanya sifat Siti yang lebih mementingkan kecantikan dari dosa membunuh.

Sifat mementingkan kecantikan itu juga diperkuatkan oleh personaliti Siti yang baik, tidak sombong dan hanya mahu menjadi isteri yang baik selepas sumpahannya itu tamat. Tidak lebih dari itu. Siti tidak mahu kembali buruk, diejek dan dicemuh masyarakat. Siapa yang mahu diri dicemuh dan dimaki berterusan hari-hari kerana dilahirkan dengan wajah yang amat buruk?

Dipersimpangan ini, saya terfikir pula tentang ujian Tuhan yang mungkin berat tetapi kita lupa bahawa azab Tuhan juga amat berat.

FYI, cerita ini berdasarkan lagenda orang-orang Johor dan sedikit sebanyak adalah kisah dongeng bercampur-baur dengan sekelumit kebenaran. Bezanya cuma pada tujuan asal Siti menjadi cantik dan diakhir cerita, suami Siti Aminah yang ke-100 lebih hebat ilmunya dan telah berjaya memadamkan ilmu Siti Aminah untuk kekal cantik itu. Mereka bersama hingga akhirnya beranak pinak.

Kisah benar ialah kisah yang terbaik untuk diskrip seterusnya difilemkan kerana kisah benar kelihatan benar, jalan ceritanya benar dan kesudahannya juga adalah benar. Kalau dinilai dari aspek norma kehidupan, adalah tidak mustahil jika cerita fiksyen itu adalah cerita benar disuatu tempat dan waktu yang kita tidak ketahui, bukan?

Walau bagaimana pun, lakon layar dan sinematografi juga harus mantap untuk mengadaptasikan cerita diatas kertas ke layar perak dengan jayanya.

Skrip, lakonlayar dan sinematografi cerita 'Sanggul Beracun' ini memang bagus. Saya suka dan jika saya menulis skrip, ini contoh terbaik saya.

1 comment:

  1. masih blom tonton cerita ini walaupun tuan punye blog ini dah bagi link tengok kat internet.

    takmo jadik beruk. tunggu la kot kuar lagik kat astro.

    ReplyDelete