Saya bukan seorang ahli didalam bidang penerbangan. Naik kapalterbang pun jarang sekali, inikan pula memahami akar umbi industri ini. Namun begitu sebagai seorang rakyat Malaysia yang inginkan penjelasan, isu terbaru tentang Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia cukup untuk "kick-start" saya membuat satu mini-kertaskerja.
Hari ini diberitakan bahawa "share swap" diantara MAS dan AirAsia telah ditarik balik oleh kerajaan. Sehubungan dengan itu tiada lagi orang AirAsia didalam lembaga pengarah MAS dan begitu juga sebaliknya. Pada asalnya "share swap" ini dianjurkan supaya MAS dan AirAsia boleh mengurangkan kos dan pada masa yang sama meningkatkan produktiviti didalam pelbagai aspek yang boleh dikongsi seperti operasi penyenggaraan kapalterbang, kerjasama laluan penerbangan dan perkongsian "ground services".
Mengapa perlu ada kerjasama? Ini ialah isu yang saya rasa amat berat untuk kita kupas. Dato' Sri Idris Jala didalam "The MAS Way - Business Turnaround Plan" ada menyatakan kelemahan dan cabaran MAS dan perkara yang perlu MAS lakukan untuk kekal kompetitif dan dari sini sahaja sudah cukup untuk kita merumuskan bahawa memang ada ruang untuk dua organisasi ini bekerjasama seterusnya menjadi lebih produktif. Ini ialah amat penting kerana tanpa produktiviti dan pengurangan kos, MAS mungkin tenggelam apabila "Asia Open Sky Policy" mula digunapakai didalam tahun 2020. Polisi yang akan membuka pelbagai cabaran kepada MAS atas dasar "kebebasan perniagaan". Dasar yang mungkin boleh digunapakai di Eropah tetapi mungkin agak sukar di Asia Tenggara kerana faktor saiz GDP dan infrastruktur negara anggota yang jauh berbeza. Walau berat sebelah macamana pun, polisi ini tidak boleh dianggap remeh kerana MAS bakal tercabar dan semua cabaran ini ada disebut secara langsung atau tidak langsung didalam "Business Turnaround Plan" Dato' Sri Idris Jala.
Umum tentu maklum bahawa diantara perkara yang akan disentuh didalam usahasama asal MAS/AirAsia ini ialah kemungkinan pengurangan tenaga kerja. Sekiranya dulu satu orang boleh buat 2 kerja, dengan pengurangan tenaga kerja kini beliau terpaksa buat 3 kerja. Tentunya ini akan menimbulkan permasalahan dengan pihak kesatuan pekerja. Didalam kes MAS, kesatuan pekerjalah yang telah memaksa pihak kerajaan untuk tidak meneruskan "share swap" diantara MAS dan AirAsia ini. Kita harus faham bahawa pusat operasi MAS ialah di Selangor, negeri pakatan pembangkang yang kerajaan mahukan kembali didalam pilihanraya umum yang akan datang. Oleh itu, keputusan kerajaan ini saya kira sebagai satu keputusan yang berunsurkan politik dan bukannya strategik. Bagi saya, didalam perniagaan tidak perlu ada keputusan yang berasaskan politik kerana ianya tidak pernah menguntungkan perniagaan. Itu ialah pendapat saya.
Kembali kepada isu MAS, kita perlu faham bahawa beroperasi didalam kerugian tidak akan menguntungkan sesiapa. Tidak kerajaan dan tidak juga rakyat. Malah sekiranya MAS gagal, pekerja MAS akan gagal dan seluruh rakyat Malaysia akan gagal.
Kita akur dengan kejayaan syarikat Jepun melakar nama dipeta dunia. Kita sanjung mereka atas pencapaian mereka tetapi kita juga harus ambil iktibar dengan sifat yang ada pada setiap individu dan pekerja mereka. Mereka sanggup berkorban untuk kejayaan negara. Mereka lebih rela melakukan "hara-kiri" dari menanggung malu dan aib jika mereka gagal. Kita dapat lihat pada awal tahun 2011, pengurusan Japan Airlines lebih dramatik dengan tetap membuang pekerja untuk kekal bersaing kerana "VSS" yang ditawarkan tidak mendapat sambutan pekerja dan pemberhentian kerja itu mendapat tentangan dari kesatuan. Disini kita nampak dua perkara. Pertamanya, kesatuan mereka telah bersetuju untuk meneruskan dengan proses "VSS" kerana mereka faham bahawa kos tenaga kerja harus dikurangkan walaupun ianya pahit. Keduanya, pihak pengurusan tetap mengambil langkah memberhentikan pekerjaan yang jelas tidak popular dari aspek politik untuk memastikan JAL kekal kompetitif.
Kita hidup dizaman yang serba moden. Zaman dimana kanak-kanak yang berumur 3 tahun sudah tahu mengendalikan Apple 'ipad' serta 'iphone'. Manusia lebih cerdik dalam memahami dan mungkin memaafkan sekiranya kita lebih telus dan ikhlas didalam menyuarakan kesilapan kita. Saya percaya jika penyampaian tentang penyelesaian untuk kekal kompetitif ini disampaikan dengan betul, rakyat akan lebih menerima. Jika rakyat rasakan bahawa masih ada perkara yang disorok oleh pihak yang bertanggungjawab tetapi yang memikul bebannya tetap rakyat, kerjasama tidak akan dapat dicapai.
Nasi sudah menjadi bubur. Kerjasama MAS dan AirAsia mungkin terus terkubur. Walaupun saya tidak suka kepada AirAsia atas beberapa sebab peribadi, MAS kini memerlukan AirAsia untuk kekal bersaing.
Apa yang saya harapkan kini ialah agar pekerja MAS tambah produktif. Berkorban lebih demi MAS, demi negara. Jika syarikat memerlukan mereka buat 4 kerja, berkorbanlah dengan membuat 5 kerja. Jika tidak mampu buat 5 kerja, teruskanlah dengan 4 kerja tetapi berjimat cermatlah bila menggunakan harta syarikat. Ini boleh mengurangkan kos operasi.
Inisiatif mengurangkan kos operasi ini harus dipraktikkan oleh semua lapisan, baik pihak kolar biru mahu pun kolar putih. Satu contoh yang bagus ialah satu cerita yang saya dengar dari mulut abang saya waktu beliau bekerja dengan Proton diwaktu perusahaan itu masih baru dan kekurangan wang. Dia kata untuk "save budget", mereka bergotong-royong tidak kira pangkat memotong rumput disekitar kilang. Proton berjaya kekal bersaing sehinggalah sampai satu masa dimana mungkin sifat "pengorbanan" ini telah hilang dan kini Proton dilihat sebagai beban negara.
Rakyat Malaysia berbangsa melayu yang berniaga sebagai penjual makanan juga ada tanggungjawab mereka agar MAS kekal kompetitif. Rakyat Malaysia berbangsa india atau cina yang bekerja sebagai kerani bank juga ada, malah semua orang yang memanggil diri mereka rakyat Malaysia ada tanggungjawab yang sama. Kita harus mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, damai dan tenteram. Kondusif untuk pelabur asing datang dan melabur di Malaysia. Pelaburan yang boleh datang didalam pelbagai bentuk dari membina kilang hinggalah pelancungan. Bila ekonomi meningkat, jumlah pengunjung keluar-masuk Malaysia juga meningkat dan secara tidak langsung, aktiviti MAS juga semakin meningkat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Damage has been done. Banyak sangat benda yang disorok bawah karpet sepanjang "drama" MAS ni.
ReplyDeleteRakyat takkan ada masalah nak sokong kalau semua benda dibuat dengan telus. Tapi kalau dah nampak banyak sangat drama....hmmm
Aku rasa tak banyak sangat lah zan. Kerugian MAS ialah kerana ia memang sedang melalui fasa rugi didalam "product life cycle"nya. Dengan kos minyak yang dah almost triple, memang akan efek "bottom line" MAS.
ReplyDeleteSekarang semua kena faham dan telan ubat lah zan, especially MAS staf sebab mereka berhubungan terus dengan industri ini. Kita ada tugas kita, cuma it is indirect. 2 sen aku.
Entahlah pakkordi.
ReplyDeleteAku bercakap pasal adik aku kerja dengan MAS. Kawan aku ex-cabin crew MAS. Cuma top-level MAS je bukan kawan2 aku.
Tapi desas-desus dari Putrajaya juga kata benda yang sama. MAS sudah kena 'main', itu pasal deal ni dibatalkan.
Route pergi Rome dihapuskan. Ke negara2 Eropah juga banyak yang dihapuskan. Route2 ni semua Airline lain berebut nak amik tapi MAS boleh letgo macam tu je. Bukan senang nak dapat permission nak lalu atas negara orang tau...
Tapi, kita semua ni mentimun saja...