Saya bangun awal untuk turun bersarapan. Sendirian tanpa teman dan rakan taulan. Sahabat bertepuk dan bertampar juga tiada bersama pada pagi itu. Saya tunjuk kupon sarapan saya kepada pekerja hotel di kaunter hadapan dan dia terus membawa saya ke kafe hotel.
Walaupun makanan buffet ada melambak, saya hanya ambil roti bakar dengan mentega, "scrambled egg" dan segelas jus oren.
Terkial-kial saya mencari meja untuk makan. Mulanya saya ingin makan sendirian sambil merenung lapik meja tetapi saya batalkan niat itu sebaik sahaja saya ternampak seorang pengerusi syarikat GLC berpangkat Tan Sri dengan kuncu-kuncunya sedang menjamah makanan. Perasaan ingin tahu tentang apa yang mereka bualkan semakin menaik.
Saya ke meja mereka, meminta kebenaran untuk sarapan bersama dan terus menarik kerusi untuk duduk. Mereka yang saya lihat dari jauh pada mulanya sedang rancak berbual sambil ketawa tiba-tiba menjadi sebu. Perbualan mereka menjadi seperti pembaca berita bercakap tentang isu semasa. Tiada lagi ketawa besar. Nampak sangat mereka telah tukar topik. Saya mula mengunyah sambil menyesal duduk disitu kerana ia sama seperti apa yang saya akan hadapi jika makan berseorangan, merenung lapik meja. Cuma kini saya rasa seperti manusia tersisih. Ibarat seorang pesakit kusta. Jijik.
Kunyahan saya menjadi semakin pantas. Dua, tiga kunyahan lalu terus menelan. Telinga saya pekakkan. Yang kini jelas hanya degupan jantung saya yang juga seperti kunyahan, menjadi semakin pantas. Cukup 30 kunyahan, saya teguk jus oren dan meminta diri. Sewaktu meninggalkan meja, kedengaran mereka kembali rancak berbual dibelakang saya. Topik perbualan mereka berubah ke topik asal rasanya.
"Lantak korang lah..." bisik hati saya meninggalkan kafeteria menuju lobi hotel.
Ajenda hari ini ialah sesi melawat syarikat Rusia yang berteknologi tinggi. Rombongan saya yang kebanyakkannya terdiri dari orang besar MDC mempunyai misi serampang dua-mata yang mana pertamanya ialah untuk mengajak syarikat-syarikat itu melabur di Malaysia dengan membina pusat di Cyberjaya dan keduanya ialah untuk mengenalpasti teknologi yang boleh MDC bawa pulang. Berbeza dengan saya yang mempunyai satu misi yang amat jelas, jalan-jalan.
... bersambung.
Edisi yang lepas:
- Ekspedisi Mockba
- Ekspedisi Mockba -Zurich
- Ekspedisi Mockba - "Kilometer 23"
- Ekspedisi Mockba - Leningradskaya Hotel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment