Wednesday, March 21, 2012

Ekspedisi Mockba - Leningradskaya Hotel

Turun dari kenderaan, rombongan kami terus terkedek-kedek masuk ke lobi hotel seperti kambing keluar kandang. Ada yang mengeluarkan talipon bimbit untuk menguji talian sekiranya ada servis perantauan antarabangsa, ada yang sedang membaca sms dan mendengar "voice" message, ada pula yang melakukan regangan badan ala-ala senaman kucing. Saya yang tahu bahawa servis perantauan antarabangsa sangat mahal, tidak membawa langsung talipon bimbit saya.

Sejurus turun dan sebelum memasuki lobi hotel, saya tinjau keadaan keliling hotel. Nampak macam orait. Saya jeling kedai-kedai yang berhampiran tetapi semuanya kedai menjual barangan untuk manusia normal.

Hotel yang kami duduki ialah hotel yang agak mewah. Mujurlah saya ditanggung oleh pihak berwajib. Kalau tidak, mungkin saya akan tidor di tandas awam didalam hotel sahaja.



Hotel Leningradskaya, Moscow. Itulah nama hotel itu ketika saya di sana. Kini ia telah dimiliki Hilton dan telah diubahsuai. Dulu, ianya sebuah hotel yang klasik. Dengan karpet bercorak persian dari dinding ke dinding, "roman pillars" besar dua pemeluk disana-sini, "plaster ceiling" dengan "skirting" corak bunga dan lampu chandellier bertatah berlian tipu yang bergantungan, persis lobi hotel pilihan orang tua-tua kaya.

Saya pikul beg buruk saya membontoti para delegasi yang lain. Mereka dengan beg-beg besar paling busuk pun jenama Delsey sibuk mencari "bell-boy". Beg besar untuk hanya 3 malam di Moscow? Saya menjadi hairan dan memandang ke beg sandang saya yang satu itu sahaja.

"Lantak korang lah", hati kecil saya berbisik.

Selesai mendaftar di kaunter hotel, saya dibawa ke bilik oleh "bell-boy". Walaupun saya mencuba sedaya-upaya untuk mengusir beliau, tetapi dia tetap nak tunjukkan bilik saya. Bukan susah pun nak mencari nombor bilik.

Sampai dibilik, saya ditunjukkan bilik air, peti sejuk dan TV yang tersedia. Selesai sahaja sesi tunjuk menunjuk, dia berdiri tepi pintu. Lama. Saya tersenyum, dia tersenyum. Saya buat-buat buka baju dan dia terus keluar, menutup pintu perlahan-lahan.

Saya amati perhiasan di dalam bilik, sesuai untuk orang tua-tua kaya. Bukan pilihan saya tetapi saya pasrah kerana pepatah orang inggeris ada berbunyi, "beggars cannot be choosers".

Pada kebiasaannya, perkara pertama yang akan saya buat didalam bilik hotel ialah buka TV dan check channel sukan. Tabiat yang sangat sukar untuk diubah. Ada satu channel sukan tapi dalam bahasa Rusia. Saya tukar channel lain dan akhirnya berhenti di satu channel fesyen.

Selesai mandi, jam menunjukkan pukul 7pm. Perut saya sudah mula berkeroncong dan seingat saya kami patut berkumpul semula dilobi untuk makan malam di restoran dalam hotel. Ini ialah kerana badan sangat penat untuk keluar. Saya tak berapa nak peduli sangat sebab duit pun bukannya ada.

Sewaktu memesan makanan, saya berdoa agar ketua delegasi kami tidak lupa untuk membayar bil makan malam saya. Mahal nak mampos, padahal makan "fish and chip" sahaja. Waktu makan, perasaan tertanya-tanya tentang siapa yang akan bayar makan dan minum itu semakin membuak tetapi lapar diperut mengatasi segala keresahan dihati.

"Waiter, bill please.." Adalah kata-kata yang paling enak saya dengar keluar dari mulut ketua delegasi kami untuk hari itu. Lega. Sesi penerangan tentang agenda kami keesokkan hari selepas itu langsung tidak saya hiraukan kerana terlalu lega.

Saya keluar dari hotel seketika untuk mengambil angin tapi tidak berapa berani nak jalan terlalu jauh. Ketika pulang, dihadapan pintu hotel kelihatan beberapa orang dari delegasi kami yang sudah agak berumur dan berpakaian sangat kasual, tersenyum-senyum riang menunggu teksi. Saya tunduk kerana segan dan terus masuk ke hotel kerana saya tahu kemana mereka akan tuju.

"Lantak korang lah.." Bisik hati saya lagi.

Kembali ke bilik, saya buka semula TV. Letih benar rasanya. Sambil menguap-nguap saya pun membersihkan diri dan akhirnya baring atas katil bersaiz permaisuri. Sebelum terlelap, saya teringat pesanan salah seorang kawan. Dia pesan dengan nada sinis, jika ada orang ketuk pintu bilik hotel anda tengah malam di Moscow, itu bukan hantu.

Saya tersenyum sendirian. Saya perlahankan volume TV dan membiarkan cahaya dari TV menemani saya malam itu lalu menarik selimut tebal keparas leher.

Perkataan "Bismillah" mengakhiri hari pertama saya di bandar Moscow dan saya pun lena.

.. bersambung.

Edisi yang lepas:
- Ekspedisi Mockba
- Ekspedisi Mockba -Zurich
- Ekspedisi Mockba - "Kilometer 23"

Friday, March 16, 2012

Penultimate Sunday

Friends,

This weekend boast the penultimate Sunday before "April Fool" Sunday.



Hope you had fun with your children, nieces and nephews during the school holidays. Have a blast when you get caught in traffic this Sunday.

Wednesday, March 14, 2012

Jam Tangan


Sehingga kini saya masih belum dapat memiliki jam tangan jenama Rolex Submariner idaman saya seperti didalam gambar diatas.

Beberapa orang sahabat saya yang rezekinya murah dan mampu untuk membeli jam tangan mewah sering berkata bahawa Rolex jam tangan orang tua. Saya peduli apa.

Bagi saya memiliki jam tangan berharga lebih menguntungkan dari membeli kereta yang mahal. Jam tangan berharga boleh diwarisi turun temurun dan harganya makin meningkat tetapi kereta? Cukup 5 tahun, macam tin bergerak. Lebih-lebih lagi kereta Proton.

Ada juga seorang sahabat saya yang telah membeli jam tangan Franck Muller Crazy Hours. Tapi saya rasa jam tangan itu terlalu gila babi. Dengan nombor yang tidak tersusun dan boleh mengelirukan anda, ianya tak lawa.



Buat masa ini rezeki saya cukup untuk makan dan minum serta tempat berlindung dari panas dan hujan untuk anak dan isteri. Belum mampu untuk beli jam tangan macam ini. Namun yang lebih penting ialah rezeki saya itu rezeki halal dan kami sekeluarga masih sihat walafiat.

Friday, March 09, 2012

Ekspedisi Mockba - "Kilometer 23"

Kami tiba di Sheremetyevo Airport yang terletak di Moscow Oblast kira-kira 29km barat laut bandar Moscow, waktu tengahari. Lapangan terbang ini adalah sangat tidak moden. Bangunannya seperti Subang Airport. Segala-gala tentangnya ialah seperti didalam cerita James Bond tahun 1970an. Seolah-olah bangunan ini tersekat dizaman itu dan tidak maju-maju.




Pengawal keselamatan dilapangan terbang bukanlah polis atau polis bantuan tetapi askar Rusia yang kelihatan garang. Cuma dari mata mereka, jelas mereka tidak cukup makan. Sekali lagi, askar mereka berpakaian seperti didalam TV dulu-dulu.


Saya rasa seperti didalam Taman Tema Jurassic.

Setelah selesai mengadap askar, imigresen dan kastam Rusia kami pun berkumpul diluar lapangan terbang menantikan kenderaan kami untuk ke bandar Moscow.

Perjalanan dari Sheremetyevo ke Moscow ialah seperti perjalanan merentas sejarah. Kami tersenguk-senguk mengantuk tetapi cerita dari tour guide kami tatkala kami melalui kawasan-kawasan bersejarah dikiri-kanan jalan, amat mengujakan. Beliau menceritakan bagaimana tentera Jerman di perang dunia kedua yang ditugaskan untuk menguasai Rusia, terkenal dengan panggilan "Wehrmacht" menggunakan laluan yang kami lalui ketika itu akhirnya kandas di bandar Khimki. Sebuah pekan kecil berkordinat 55°54´46.103"N, 37°24´10.577"E, 8km dari Moscow. Begitulah hampirnya Hitler untuk menguasai Rusia, 8 kilometer. Tour guide kami bercerita dengan penuh semangat sambil menunjukkan sebuah memorial berbentuk perangkap kereta kebal bersaiz gergasi di "Kilometer 23", tempat dimana "Wehrmacht" kandas dan terkubur.

Kini saya ibarat duduk didalam panggung wayang bergerak.

Jalanraya menuju ke Moscow bersaiz lebuhraya dan tanpa tol. Dibahu jalan saya sering terlihat seorang wanita menunggu sesuatu, bertemankan seorang lelaki yang duduk diatas motor. Selang satu kilometer, perkara yang sama dengan pasangan yang lain pula. Saya jadi hairan lalu bertanyakan kepada tour guide kami. Dia tersenyum kepada saya dan menjawap, "They are working in the entertainment industry serving the tourist and waiting to be picked up".

"Even at this hour?" Tanya saya lagi.

"Yes, even at 3pm in the afternoon" Balasnya.

Di Rusia, bukan hanya ada kupu-kupu malam yang menyorok-nyorok malu tetapi ada juga kupu-kupu tengahari dan petang yang terbang secara terang-terangan tanpa segan silu.

Seperti di Singapura, Moscow juga penuh dengan flat kediaman penduduk. Tinggi, berpetak dan kusam tanpa nyawa. Iras rumah merpati yang lusuh.

Di Rusia, penduduk dibekalkan rumah secara percuma oleh kerajaan dan dari rupa parasnya saya yakin konsep komunisma ini adalah sangat tidak kondusif untuk rakyat walau bagaimana ideal konsepnya sekalipun. Flat buruk dengan keadaan sekeliling yang tidak terurus. Bagaimana mereka boleh membesarkan anak-anak mereka didalam keadaan dhaif sebegitu?

Jalanraya menuju Moscow semakin lama semakin besar dan lebar. Tour guide kami berkata saiz jalan ini memang sengaja dibuat besar untuk membolehkan kapalterbang mendarat sekiranya keadaan darurat.

Sudah semakin hampir ke Moscow, tour guide kami mengarahkan penglihatan kami ke sebelah kanan jalan. Kearah sebuah kilang yang nampak usang.

"This is the place where we build the Sukhoi". Ujarnya dengan bangga.


Ibupejabat Sukhoi Company (JSC), syarikat yang membina Sukhoi terlihat megah ditepi jalan. Saya tidak pasti samada masih ada jet pejuang dibina disitu tetapi didalam kekusutan ekonomi Rusia, saya rasa mungkin masih ada.

Orang Rusia tampak lesu didalam kemiskinan hidup mereka namun begitu mereka masih bangga dengan pencapaian mereka. Saya cukup teruja.

.... bersambung.

Edisi yang lepas:
- Ekspedisi Mockba
- Ekspedisi Mockba -Zurich

Wednesday, March 07, 2012

Pediatrician

Dua tahun sudah, saya punya entri cerita pasal susu.

Kepada mereka yang tak sudi membaca link diatas, ia mengisahkan tentang betapa pentingnya susu bayi kepada ibubapa kerana tanpa susu jenis ini telinga ibubapa boleh menjadi bingit dan jiwa mereka jadi tak tenteram bila bayi mula meraung kelaparan. Justeru itu memahami akan kepentingan susu bayi saya berhasrat jika diberikan peluang memilih, untuk memonopoli industri ini.

Jika masih diberi peluang untuk menambah industri yang ingin saya monopoli, saya inginkan hak membuka klinik untuk bayi dan kanak-kanak diseluruh Malaysia.



Kaya, kaya, kaya.

Thursday, March 01, 2012

Kalender & Tahun Lompat

31, 28(29), 31, 30, 31, 30, 31, 31, 30, 31, 30, 31

Siapakah yang menentukan bahawa bulan Februari hanya ada 28 hari? Dan apabila cukup kiraannya, Februari ditambah satu nombor menjadi 29. Hatta, tahun lompat. Bulan Ogos pula tiba-tiba tidak mengikut susunatur yang sepatutnya 30 tetapi menjadi 31 dan turutan baru bermula dari situ pula.

Bulan Islam adalah seperti berikut:

30, 29, 30, 29, 30, 29, 30, 29, 30, 29, 30, 29(30)

Bukankah mudah dengan susunan yang cantik?

Ataupun dengan cara yang saya cipta sendiri ini yang saya namakan Kalender 1Malaysia:

30, 31, 30, 31, 30, 31, 30, 31, 30, 31, 30, 31(30)