Wednesday, March 21, 2012

Ekspedisi Mockba - Leningradskaya Hotel

Turun dari kenderaan, rombongan kami terus terkedek-kedek masuk ke lobi hotel seperti kambing keluar kandang. Ada yang mengeluarkan talipon bimbit untuk menguji talian sekiranya ada servis perantauan antarabangsa, ada yang sedang membaca sms dan mendengar "voice" message, ada pula yang melakukan regangan badan ala-ala senaman kucing. Saya yang tahu bahawa servis perantauan antarabangsa sangat mahal, tidak membawa langsung talipon bimbit saya.

Sejurus turun dan sebelum memasuki lobi hotel, saya tinjau keadaan keliling hotel. Nampak macam orait. Saya jeling kedai-kedai yang berhampiran tetapi semuanya kedai menjual barangan untuk manusia normal.

Hotel yang kami duduki ialah hotel yang agak mewah. Mujurlah saya ditanggung oleh pihak berwajib. Kalau tidak, mungkin saya akan tidor di tandas awam didalam hotel sahaja.



Hotel Leningradskaya, Moscow. Itulah nama hotel itu ketika saya di sana. Kini ia telah dimiliki Hilton dan telah diubahsuai. Dulu, ianya sebuah hotel yang klasik. Dengan karpet bercorak persian dari dinding ke dinding, "roman pillars" besar dua pemeluk disana-sini, "plaster ceiling" dengan "skirting" corak bunga dan lampu chandellier bertatah berlian tipu yang bergantungan, persis lobi hotel pilihan orang tua-tua kaya.

Saya pikul beg buruk saya membontoti para delegasi yang lain. Mereka dengan beg-beg besar paling busuk pun jenama Delsey sibuk mencari "bell-boy". Beg besar untuk hanya 3 malam di Moscow? Saya menjadi hairan dan memandang ke beg sandang saya yang satu itu sahaja.

"Lantak korang lah", hati kecil saya berbisik.

Selesai mendaftar di kaunter hotel, saya dibawa ke bilik oleh "bell-boy". Walaupun saya mencuba sedaya-upaya untuk mengusir beliau, tetapi dia tetap nak tunjukkan bilik saya. Bukan susah pun nak mencari nombor bilik.

Sampai dibilik, saya ditunjukkan bilik air, peti sejuk dan TV yang tersedia. Selesai sahaja sesi tunjuk menunjuk, dia berdiri tepi pintu. Lama. Saya tersenyum, dia tersenyum. Saya buat-buat buka baju dan dia terus keluar, menutup pintu perlahan-lahan.

Saya amati perhiasan di dalam bilik, sesuai untuk orang tua-tua kaya. Bukan pilihan saya tetapi saya pasrah kerana pepatah orang inggeris ada berbunyi, "beggars cannot be choosers".

Pada kebiasaannya, perkara pertama yang akan saya buat didalam bilik hotel ialah buka TV dan check channel sukan. Tabiat yang sangat sukar untuk diubah. Ada satu channel sukan tapi dalam bahasa Rusia. Saya tukar channel lain dan akhirnya berhenti di satu channel fesyen.

Selesai mandi, jam menunjukkan pukul 7pm. Perut saya sudah mula berkeroncong dan seingat saya kami patut berkumpul semula dilobi untuk makan malam di restoran dalam hotel. Ini ialah kerana badan sangat penat untuk keluar. Saya tak berapa nak peduli sangat sebab duit pun bukannya ada.

Sewaktu memesan makanan, saya berdoa agar ketua delegasi kami tidak lupa untuk membayar bil makan malam saya. Mahal nak mampos, padahal makan "fish and chip" sahaja. Waktu makan, perasaan tertanya-tanya tentang siapa yang akan bayar makan dan minum itu semakin membuak tetapi lapar diperut mengatasi segala keresahan dihati.

"Waiter, bill please.." Adalah kata-kata yang paling enak saya dengar keluar dari mulut ketua delegasi kami untuk hari itu. Lega. Sesi penerangan tentang agenda kami keesokkan hari selepas itu langsung tidak saya hiraukan kerana terlalu lega.

Saya keluar dari hotel seketika untuk mengambil angin tapi tidak berapa berani nak jalan terlalu jauh. Ketika pulang, dihadapan pintu hotel kelihatan beberapa orang dari delegasi kami yang sudah agak berumur dan berpakaian sangat kasual, tersenyum-senyum riang menunggu teksi. Saya tunduk kerana segan dan terus masuk ke hotel kerana saya tahu kemana mereka akan tuju.

"Lantak korang lah.." Bisik hati saya lagi.

Kembali ke bilik, saya buka semula TV. Letih benar rasanya. Sambil menguap-nguap saya pun membersihkan diri dan akhirnya baring atas katil bersaiz permaisuri. Sebelum terlelap, saya teringat pesanan salah seorang kawan. Dia pesan dengan nada sinis, jika ada orang ketuk pintu bilik hotel anda tengah malam di Moscow, itu bukan hantu.

Saya tersenyum sendirian. Saya perlahankan volume TV dan membiarkan cahaya dari TV menemani saya malam itu lalu menarik selimut tebal keparas leher.

Perkataan "Bismillah" mengakhiri hari pertama saya di bandar Moscow dan saya pun lena.

.. bersambung.

Edisi yang lepas:
- Ekspedisi Mockba
- Ekspedisi Mockba -Zurich
- Ekspedisi Mockba - "Kilometer 23"

3 comments:

  1. Leningrad, reminds me of "The children of Leningrad". Baru habis baca cerita sedih seorang ibu yang terpaksa berpisah dgn anaknya and how they made it back to be reunited. Tapi cerita Pak kali ini sgt menarik. Tak sedih.

    ReplyDelete