Friday, June 22, 2012

Cerita Bola Sepak Malaysia - Kuala Lumpur 1987-89

Manusia beratur seperti rantai dihadapan mesin tiket KL monorail Stesen Imbi yang mengadap Berjaya Times Square. Sebenarnya stesen ini terhimpit diantara dua bangunan gergasi dan disokong oleh tiang-tiang besar dicelah jalanraya menuju Jalan Imbi, sajak dengan namanya. Himpitan yang jelas memberitahu kita bahawa perancangan pertumbuhan bandar Kuala Lumpur ini bolehlah dirumuskan sebagai ‘hampir tiada’.

Suasana sudah mula redup. Angin yang asalnya sepoi-sepoi kini semakin menganas. Dahan-dahan pokok yang menjadi lanskap mengindahkan kawasan Berjaya Times mula menggila. Bau hujan makin jelas menusuk hidung. Titis air halus mula gugur berpusing-pusing melayang ditiup angin deras. Saya berdoa agar saya sempat sampai ke KL Sentral sebelum hujan lebat turun.

***

Saya memandang keluar tingkap gerabak, menggelamun menyaksikan titis air yang berselirat dan menjadi huru-hara apabila ditiup angin kuat memukul bahagian luar tingkap. Tiba-tiba titisan air hujan yang tadinya penuh melekat di tingkap gerabak menjadi semakin sirna. Nun jauh diluar dan membelakangkan lembayung senja, kelihatan sebuah kubu. Kubu yang pernah menjadi kebanggaan negara suatu ketika dahulu. Kubu yang didalamnya pernah dilaungkan kalimat bersejarah, “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Kubu yang diberi nama Stadium Merdeka.

Walau dengan cat yang kelihatan masih elok dan hanya sedikit kusam akibat serangan kulat hitam yang meliar menyelubungi bahagian tepi konkritnya, Stadium Merdeka jelas tampak sunyi dan keseorangan. Berjirankan pencakar langit yang pernah bertakhta sebagai yang tertinggi didunia, Stadium Merdeka kini tinggal sejarah.

Bunyi geseran tayar gerabak tadi semakin menghilang. Kini, mula menguasai telinga dan minda saya hanya sorakan pengunjung yang bergema dari dalam stadium dan manusia yang berpusu-pusu mencari tempat parkir kereta diluar manakala penunggang motosikal pula sebok memastikan helmet ‘Apollo’ buruk mereka tersendal kemas ditempat duduk motor. Saya yakin mereka ada helmet yang jauh lebih cantik dari itu dirumah. Gema sorakan tadi mendadak naik dan seperti mana ia datang, mendadak surut. Jerit pekik penjual air dan burger juga bersimpang-siur didalam minda.

Pemandangan saya tiba-tiba terus menjadi gelap.

“Wooooaarrrrrrrrrrrrrr!” Gema sorakan dari dalam stadium menyentakkan saya yang tiba-tiba ibarat dalam mimpi, sedang berjalan menuju kearah Stadium Merdeka didalam gelap malam. Ditemani lampu kuning jalan dan agas. Saya berdiri tercegat bagai dilanggar garuda. Tercenggang.

“Lubang kekunci masa mana pulak yang aku dah lintas ni?” hati saya berdetik. Sekeping tiket ditangan menunjukkan saya harus ke pintu masuk stadium nombor 1.

Debaran makin terasa dan langkah saya makin laju. Saya renung kembali tiket dalam genggaman yang tertulis, “Perlawanan Akhir Piala Malaysia tahun 1989”. Lidah saya menjadi kelu.

*************

Sedikit sedutan dari cerita pasukan bolasepak Kuala Lumpur (1987-89) yang saya tulis bersama beberapa lagi jemaah penggila bolasepak Malaysia didalam buku Cerita Bola Sepak Malaysia.

Akan dijual di KLAB esok.




Semoga buku terbitan Dubook Press ini mendapat sambutan hangat.

2 comments:

  1. ada lagi tak versi alternatif punya? nak beli la. hari tu tak sempat pergi KLAB.

    ReplyDelete
  2. awak kena tanya luca @dubookpress atau twitter @mutalibuthman

    ReplyDelete