Sungguh kecoh sejak sejak akhir-akhir ini tentang pelbagai perkara terutama sekali tentang isu perkauman. Saya tidak ketinggalan membaca penulisan dan mendengar ceramah yang boleh saya capai dari internet. Ini akan membuatkan saya celik isu bila berborak dikaki lima nanti.
Antara kupasan yang menarik hati saya ialah satu ceramah berjudul "For God, King and Racism" yang anda boleh lihat disini, menceritakan tentang bagaimana perjuangan pejuang nasionalis seperti Pak Sako, Ibrahim Yaakob, Mustapha Hussein malah Chin Peng juga didalam cubaan memerdekakan Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Penceramah memetik beberapa nama buku dan merumuskan bahawa sekiranya Amerika lewat seminggu mengugurkan bom atom di Nagasaki, Tanah Melayu sudah dimerdekakan oleh Jepun pada 17hb Ogos 1945. Penceramah menegaskan bahawa pejuang sebenar kemerdekaan bukanlah seperti yang diajarkan kepada kita waktu sekolah dan merupakan propaganda semata.
Selesai mendengar ceramah itu saya termenung sejenak.
Saya teringat kepada satu nasihat yang diceritakan oleh seorang kawan yang diterimanya dari seorang ahli ugama yang agak terkenal. Nasihat itu meminta kita agar sentiasa tabah, tenang dan bersyukur didalam menerima sesuatu kejadian. Ahli ugama tadi bercerita tentang seorang peniaga yang miskin. Peniaga ini tidak kaya tetapi hanya cukup untuk menampung perbelanjaan kehidupan ahli keluarganya. Satu hari, peniaga itu menerima satu tawaran yang cukup lumayan dari luar negara dan tawaran ini adalah peluang untuk si peniaga menjadi kaya raya. Malangnya si peniaga gagal menaiki pesawat dihari yang sepatutnya beliau pergi menerima tawaran tersebut. Beliau sungguh kesal dan pulang kerumah hampa. Setibanya di rumah, beliau terdengar berita bahawa kapal terbang yang sepatutnya beliau naiki itu telah terhempas dilautan. Terus beliau bersyukur kepada Allah kerana sekiranya beliau berada didalam pesawat itu tentu dia akan turut maut dan keluarganya akan ditimpa kesusahan yang amat sangat.
Mengambil iktibar dari nasihat ahli ugama itu saya yakin saya harus menerima segala takdir yang ditentukan oleh Allah Taala keatas Tanah Melayu yang kini dinamakan Malaysia. Tidak kiralah siapa yang membawa kita kepada keadaan yang kita hadapi sekarang dan tidak kira jugalah sekiranya ada yang mengatakan bahawa Malaysia akan punah jika kita tidak berubah.
Benar, kita perlu berusaha dan berdoa tetapi siapalah kita untuk melawan ketentuan Tuhan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment