Friday, March 09, 2012

Ekspedisi Mockba - "Kilometer 23"

Kami tiba di Sheremetyevo Airport yang terletak di Moscow Oblast kira-kira 29km barat laut bandar Moscow, waktu tengahari. Lapangan terbang ini adalah sangat tidak moden. Bangunannya seperti Subang Airport. Segala-gala tentangnya ialah seperti didalam cerita James Bond tahun 1970an. Seolah-olah bangunan ini tersekat dizaman itu dan tidak maju-maju.




Pengawal keselamatan dilapangan terbang bukanlah polis atau polis bantuan tetapi askar Rusia yang kelihatan garang. Cuma dari mata mereka, jelas mereka tidak cukup makan. Sekali lagi, askar mereka berpakaian seperti didalam TV dulu-dulu.


Saya rasa seperti didalam Taman Tema Jurassic.

Setelah selesai mengadap askar, imigresen dan kastam Rusia kami pun berkumpul diluar lapangan terbang menantikan kenderaan kami untuk ke bandar Moscow.

Perjalanan dari Sheremetyevo ke Moscow ialah seperti perjalanan merentas sejarah. Kami tersenguk-senguk mengantuk tetapi cerita dari tour guide kami tatkala kami melalui kawasan-kawasan bersejarah dikiri-kanan jalan, amat mengujakan. Beliau menceritakan bagaimana tentera Jerman di perang dunia kedua yang ditugaskan untuk menguasai Rusia, terkenal dengan panggilan "Wehrmacht" menggunakan laluan yang kami lalui ketika itu akhirnya kandas di bandar Khimki. Sebuah pekan kecil berkordinat 55°54´46.103"N, 37°24´10.577"E, 8km dari Moscow. Begitulah hampirnya Hitler untuk menguasai Rusia, 8 kilometer. Tour guide kami bercerita dengan penuh semangat sambil menunjukkan sebuah memorial berbentuk perangkap kereta kebal bersaiz gergasi di "Kilometer 23", tempat dimana "Wehrmacht" kandas dan terkubur.

Kini saya ibarat duduk didalam panggung wayang bergerak.

Jalanraya menuju ke Moscow bersaiz lebuhraya dan tanpa tol. Dibahu jalan saya sering terlihat seorang wanita menunggu sesuatu, bertemankan seorang lelaki yang duduk diatas motor. Selang satu kilometer, perkara yang sama dengan pasangan yang lain pula. Saya jadi hairan lalu bertanyakan kepada tour guide kami. Dia tersenyum kepada saya dan menjawap, "They are working in the entertainment industry serving the tourist and waiting to be picked up".

"Even at this hour?" Tanya saya lagi.

"Yes, even at 3pm in the afternoon" Balasnya.

Di Rusia, bukan hanya ada kupu-kupu malam yang menyorok-nyorok malu tetapi ada juga kupu-kupu tengahari dan petang yang terbang secara terang-terangan tanpa segan silu.

Seperti di Singapura, Moscow juga penuh dengan flat kediaman penduduk. Tinggi, berpetak dan kusam tanpa nyawa. Iras rumah merpati yang lusuh.

Di Rusia, penduduk dibekalkan rumah secara percuma oleh kerajaan dan dari rupa parasnya saya yakin konsep komunisma ini adalah sangat tidak kondusif untuk rakyat walau bagaimana ideal konsepnya sekalipun. Flat buruk dengan keadaan sekeliling yang tidak terurus. Bagaimana mereka boleh membesarkan anak-anak mereka didalam keadaan dhaif sebegitu?

Jalanraya menuju Moscow semakin lama semakin besar dan lebar. Tour guide kami berkata saiz jalan ini memang sengaja dibuat besar untuk membolehkan kapalterbang mendarat sekiranya keadaan darurat.

Sudah semakin hampir ke Moscow, tour guide kami mengarahkan penglihatan kami ke sebelah kanan jalan. Kearah sebuah kilang yang nampak usang.

"This is the place where we build the Sukhoi". Ujarnya dengan bangga.


Ibupejabat Sukhoi Company (JSC), syarikat yang membina Sukhoi terlihat megah ditepi jalan. Saya tidak pasti samada masih ada jet pejuang dibina disitu tetapi didalam kekusutan ekonomi Rusia, saya rasa mungkin masih ada.

Orang Rusia tampak lesu didalam kemiskinan hidup mereka namun begitu mereka masih bangga dengan pencapaian mereka. Saya cukup teruja.

.... bersambung.

Edisi yang lepas:
- Ekspedisi Mockba
- Ekspedisi Mockba -Zurich

1 comment: