Friday, April 20, 2012

Money, money, money

Dua hari yang lepas saya melayan sebuah dokumentari di Sundance Channel bertajuk "Inside Job". Berkisar tentang bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab didalam krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 2008.

Umum mungkin tahu bahawa krisis ini terjadi akibat kegagalan Amerika didalam mengawal kegiatan kumpulan perbankan beroperasi di sana yang telah mengeksploitasikan penggunaan "financial derivatives" didalam mengaut keuntungan secara besar-besaran tanpa mengambil kira risiko yang terkandung didalam instrumen kewangan sebegini.

Apa itu derivatif?

Derivatif ialah sejenis kontrak diantara dua pihak yang mengandungi beberapa terma yang perlu dipersetujui sebelum pembayaran keatas kontrak itu dilaksanakan. Mari kita melihat satu contoh yang mudah, kontrak 5 tahun diantara seorang pengilang beras dengan seorang penanam padi yang mengandungi terma dan syarat tentang harga dan masa untuk setiap bekalan dan bayaran yang berkaitan, dimana beras adalah asset yang diperdagangkan. Dari sini kita akan faham bahawa pihak pengilang beras akan terlindung dari risiko pihak penanam padi menaikkan harga dimasa hadapan manakala pihak penanam padi pula melindungi diri mereka dari risiko pihak pengilang beras membeli beras mereka pada harga yang murah didalam tempoh kontrak. Perdagangan nampak stabil dan risiko telah dapat dikurangkan.

Nampak mudah bukan?

Yer, ia nampak mudah tetapi apabila kita mengambil kira risiko bencana alam yang boleh merosakkan tanaman padi, ia menjadi sedikit kompleks. Lazimnya akan ada pihak ketiga yang akan membeli kontrak ini sekiranya berlaku bencana alam dan mereka ini akan menerima premium dari kontrak asal, seakan-akan insuren.

Ini ialah perkara asas instrumen derivatif dan sekiranya tidak dikawal, instrumen ini boleh menjadi amat merbahaya dan ini terbukti didalam krisis kewangan Amerika tahun 2008.

Asset yang diperdagangkan didalam krisis kewangan Amerika itu ialah CDO (Collaterized Debt Obligations) dan juga MBS (Mortgage-Backed Securities). Ia adalah sejenis derivatif yang mengandungi pelbagai asset seperti hutang kredit kad, hutang membeli kereta dan hutang membeli rumah. Asset-asset ini kemudian disatukan dan dijual kepada pihak ketiga pada premium yang ditetapkan.


Pasaran kewangan juga ada ajensi penarafan (Rating Agency) yang akan memberikan taraf tertentu kepada sesuatu alat kewangan seperti bon, saham dan kredit. Sebagai contoh, saham Maybank ditarafkan sebagai A- oleh Standard & Poor dan A3 oleh Moody's, dua ajensi penarafan dunia manakala ajensi penarafan tempatan seperti RAM dan MARC pula menarafkan saham Maybank sebagai AAA, iaitu taraf yang terbaik (sila lihat rajah bawah).


Sewaktu krisis di Amerika tahun 2008, Standard & Poor dan Moody's telah menarafkan CDO yang diperdagangkan sebagai AAA, terbaik didalam kelasnya dan ini membuatkan CDO ini dibeli oleh mereka yang ada banyak sumber dana atas dasar spekulasi, sama seperti membeli saham. Banyak kumpulan simpanan wang tempatan di Amerika (sama seperti KWSP) melabur dengan membeli CDO ini. Walaupun CDO ini mendapat penarafan AAA, sebenarnya ia mengandungi asset yang sangat berisiko iaitu pinjaman pembelian rumah yang diberikan kepada mereka yang tidak mampu (Sub-Prime Lending). Antara alasan yang diberikan ialah harga rumah tidak akan turun didalam jangkamasa panjang oleh itu CDO ini sangat bernilai.

Beberapa tahun sebelum 2008, pasaran perumahan di Amerika mendadak naik. Ini ialah kerana terdapat institusi kewangan yang memberikan pinjaman kepada mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah. Mereka dibenarkan meminjam tanpa membayar wang cagaran dan memerlukan dokumentasi yang amat sedikit. Countrywide ialah salah satu institusi yang memberikan pinjaman paling popular kerana mudah untuk mereka yang tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan.

Apabila ramai peminjam tidak dapat membayar kembali hutang mereka, CDO merudum. Wang yang sepatutnya diterima oleh institusi kewangan menjadi hutang lapuk. Aliran tunai didalam pasaran kewangan Amerika menjadi kucar-kacir. Seperti efek domino, satu demi satu institusi kewangan mereka lumpuh. Ketika Lehman Brothers diisytiharkan muflis pada 15 September 2008, ada yang mengatakan pasaran kewangan Amerika akan runtuh sama sekali dan akan menarik ekonomi global bersamanya. "Armageddon".

Kerajaan Amerika terpaksa membantu dengan menyalurkan dana kepada institusi kewangan mereka untuk kekal aktif. TARP (Transfer Asset Relief Program) sebanyak USD700bilion telah diberikan kepada konglomerat yang mana kebanyakkannya ialah institusi kewangan (lihat rajah dibawah) dan pasaran kewangan Amerika kembali stabil.


Ini berlaku beberapa bulan sebelum Barack Obama menjadi Presiden kulit hitam yang pertama di Amerika. Salah satu ucapannya ketika baru menjadi Presiden ialah untuk mengubah dasar pasaran kewangan Amerika Syarikat tetapi hingga kini masih tiada banyak perubahan malah ironinya, mereka-mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui perubahan oleh Obama ialah orang-orang sama yang telah gagal mengawal derivatif didalam sistem kewangan Amerika ditahun sebelum ini.

Sistem kewangan Amerika ialah satu sistem yang telah diputar-belitkan oleh mereka-mereka yang berkepentingan untuk mengaut keuntungan dengan membiarkan orang lain yang membayar kosnya. Ia telah dimanipulasikan ketahap yang paling kronik. Morgan Stanley, salah satu institusi kewangan yang hampir muflis pada tahun sebelumnya memberikan bonus pekerja sebanyak USD3billion pada tahun 2009.

Saya percaya, dunia sistem kewangan akan hancur bila tiba masanya dan manusia akan kembali "barter trade" kerana inilah sistem yang paling adil.

3 comments:

  1. Fuh! Satu pencerahan...

    Thanks Pakkordi..:-)

    ReplyDelete
  2. peergghhhh...selalu dengar je derivatif ni tapi haram tak tau apa kebendanya...sekrg baru tauuuuu.....TQ

    ReplyDelete
  3. Dalam tahun ni (2012)...

    pasaran derivatif akan trigger Global Financial System collapse...

    domino akan terjadi...

    Euro akan collapse dulu...

    kmdian dlm masa 2 ke 4 minggu...

    US Dollar akan collapse

    ReplyDelete