Monday, April 30, 2012

Ekspedisi Mockba - Sarapan Bersama Tan Sri

Saya bangun awal untuk turun bersarapan. Sendirian tanpa teman dan rakan taulan. Sahabat bertepuk dan bertampar juga tiada bersama pada pagi itu. Saya tunjuk kupon sarapan saya kepada pekerja hotel di kaunter hadapan dan dia terus membawa saya ke kafe hotel.

Walaupun makanan buffet ada melambak, saya hanya ambil roti bakar dengan mentega, "scrambled egg" dan segelas jus oren.

Terkial-kial saya mencari meja untuk makan. Mulanya saya ingin makan sendirian sambil merenung lapik meja tetapi saya batalkan niat itu sebaik sahaja saya ternampak seorang pengerusi syarikat GLC berpangkat Tan Sri dengan kuncu-kuncunya sedang menjamah makanan. Perasaan ingin tahu tentang apa yang mereka bualkan semakin menaik.

Saya ke meja mereka, meminta kebenaran untuk sarapan bersama dan terus menarik kerusi untuk duduk. Mereka yang saya lihat dari jauh pada mulanya sedang rancak berbual sambil ketawa tiba-tiba menjadi sebu. Perbualan mereka menjadi seperti pembaca berita bercakap tentang isu semasa. Tiada lagi ketawa besar. Nampak sangat mereka telah tukar topik. Saya mula mengunyah sambil menyesal duduk disitu kerana ia sama seperti apa yang saya akan hadapi jika makan berseorangan, merenung lapik meja. Cuma kini saya rasa seperti manusia tersisih. Ibarat seorang pesakit kusta. Jijik.

Kunyahan saya menjadi semakin pantas. Dua, tiga kunyahan lalu terus menelan. Telinga saya pekakkan. Yang kini jelas hanya degupan jantung saya yang juga seperti kunyahan, menjadi semakin pantas. Cukup 30 kunyahan, saya teguk jus oren dan meminta diri. Sewaktu meninggalkan meja, kedengaran mereka kembali rancak berbual dibelakang saya. Topik perbualan mereka berubah ke topik asal rasanya.

"Lantak korang lah..." bisik hati saya meninggalkan kafeteria menuju lobi hotel.

Ajenda hari ini ialah sesi melawat syarikat Rusia yang berteknologi tinggi. Rombongan saya yang kebanyakkannya terdiri dari orang besar MDC mempunyai misi serampang dua-mata yang mana pertamanya ialah untuk mengajak syarikat-syarikat itu melabur di Malaysia dengan membina pusat di Cyberjaya dan keduanya ialah untuk mengenalpasti teknologi yang boleh MDC bawa pulang. Berbeza dengan saya yang mempunyai satu misi yang amat jelas, jalan-jalan.

... bersambung.


Edisi yang lepas:
- Ekspedisi Mockba
Ekspedisi Mockba -Zurich
- Ekspedisi Mockba - "Kilometer 23"
- Ekspedisi Mockba - Leningradskaya Hotel

Friday, April 27, 2012

Teori Masuk Simpang

Setiap kali ke pejabat ketika saya memandu di NKVE dan melepasi kawasan Damansara menuju ke Subang, kemungkinan besar pasti trafik sesak.

Saya dapati kawasan dimana banyak kereta masuk dari arah tepi, trafik akan jadi haru-biru.

Saya ada satu idea dan mungkin pihak yang berwajib atau penyelidik di universiti tempatan boleh melakukan sedikit kajian. Lihat gambarajah dibawah.


Di dalam setup 1, kereta dari jalan asal hanya boleh pergi ke kanan dan memaksa kereta lain untuk kekanan juga dan ini akan menyempitkan hanya bahagian kanan jalan(nombor 1).

Didalam setup II, kereta dari susur tepi masuk melalui lorong bawah tanah dan muncul ditengah2 jalanraya. Kereta lain kini mempunyai lorong kiri dan kanan untuk menyusur berbanding setup I seterusnya mengurangkan efek kesesakan kerana kini himpitan dibahagi kepada dua bahagian jalan (nombor 2 & 3).



Wednesday, April 25, 2012

Tough Times

When I was little, I always wanted to be older, to be working, to drive my own car, to live a dream.

How naive.

Life can be tough on people and sometimes it cracks you up. It will be harder when the crack kicks in little by little, inch by inch, spreading you into bits and pieces, all in tiny blocks of pain.

I know, life can be cruel.

Friday, April 20, 2012

Money, money, money

Dua hari yang lepas saya melayan sebuah dokumentari di Sundance Channel bertajuk "Inside Job". Berkisar tentang bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab didalam krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 2008.

Umum mungkin tahu bahawa krisis ini terjadi akibat kegagalan Amerika didalam mengawal kegiatan kumpulan perbankan beroperasi di sana yang telah mengeksploitasikan penggunaan "financial derivatives" didalam mengaut keuntungan secara besar-besaran tanpa mengambil kira risiko yang terkandung didalam instrumen kewangan sebegini.

Apa itu derivatif?

Derivatif ialah sejenis kontrak diantara dua pihak yang mengandungi beberapa terma yang perlu dipersetujui sebelum pembayaran keatas kontrak itu dilaksanakan. Mari kita melihat satu contoh yang mudah, kontrak 5 tahun diantara seorang pengilang beras dengan seorang penanam padi yang mengandungi terma dan syarat tentang harga dan masa untuk setiap bekalan dan bayaran yang berkaitan, dimana beras adalah asset yang diperdagangkan. Dari sini kita akan faham bahawa pihak pengilang beras akan terlindung dari risiko pihak penanam padi menaikkan harga dimasa hadapan manakala pihak penanam padi pula melindungi diri mereka dari risiko pihak pengilang beras membeli beras mereka pada harga yang murah didalam tempoh kontrak. Perdagangan nampak stabil dan risiko telah dapat dikurangkan.

Nampak mudah bukan?

Yer, ia nampak mudah tetapi apabila kita mengambil kira risiko bencana alam yang boleh merosakkan tanaman padi, ia menjadi sedikit kompleks. Lazimnya akan ada pihak ketiga yang akan membeli kontrak ini sekiranya berlaku bencana alam dan mereka ini akan menerima premium dari kontrak asal, seakan-akan insuren.

Ini ialah perkara asas instrumen derivatif dan sekiranya tidak dikawal, instrumen ini boleh menjadi amat merbahaya dan ini terbukti didalam krisis kewangan Amerika tahun 2008.

Asset yang diperdagangkan didalam krisis kewangan Amerika itu ialah CDO (Collaterized Debt Obligations) dan juga MBS (Mortgage-Backed Securities). Ia adalah sejenis derivatif yang mengandungi pelbagai asset seperti hutang kredit kad, hutang membeli kereta dan hutang membeli rumah. Asset-asset ini kemudian disatukan dan dijual kepada pihak ketiga pada premium yang ditetapkan.


Pasaran kewangan juga ada ajensi penarafan (Rating Agency) yang akan memberikan taraf tertentu kepada sesuatu alat kewangan seperti bon, saham dan kredit. Sebagai contoh, saham Maybank ditarafkan sebagai A- oleh Standard & Poor dan A3 oleh Moody's, dua ajensi penarafan dunia manakala ajensi penarafan tempatan seperti RAM dan MARC pula menarafkan saham Maybank sebagai AAA, iaitu taraf yang terbaik (sila lihat rajah bawah).


Sewaktu krisis di Amerika tahun 2008, Standard & Poor dan Moody's telah menarafkan CDO yang diperdagangkan sebagai AAA, terbaik didalam kelasnya dan ini membuatkan CDO ini dibeli oleh mereka yang ada banyak sumber dana atas dasar spekulasi, sama seperti membeli saham. Banyak kumpulan simpanan wang tempatan di Amerika (sama seperti KWSP) melabur dengan membeli CDO ini. Walaupun CDO ini mendapat penarafan AAA, sebenarnya ia mengandungi asset yang sangat berisiko iaitu pinjaman pembelian rumah yang diberikan kepada mereka yang tidak mampu (Sub-Prime Lending). Antara alasan yang diberikan ialah harga rumah tidak akan turun didalam jangkamasa panjang oleh itu CDO ini sangat bernilai.

Beberapa tahun sebelum 2008, pasaran perumahan di Amerika mendadak naik. Ini ialah kerana terdapat institusi kewangan yang memberikan pinjaman kepada mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah. Mereka dibenarkan meminjam tanpa membayar wang cagaran dan memerlukan dokumentasi yang amat sedikit. Countrywide ialah salah satu institusi yang memberikan pinjaman paling popular kerana mudah untuk mereka yang tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan.

Apabila ramai peminjam tidak dapat membayar kembali hutang mereka, CDO merudum. Wang yang sepatutnya diterima oleh institusi kewangan menjadi hutang lapuk. Aliran tunai didalam pasaran kewangan Amerika menjadi kucar-kacir. Seperti efek domino, satu demi satu institusi kewangan mereka lumpuh. Ketika Lehman Brothers diisytiharkan muflis pada 15 September 2008, ada yang mengatakan pasaran kewangan Amerika akan runtuh sama sekali dan akan menarik ekonomi global bersamanya. "Armageddon".

Kerajaan Amerika terpaksa membantu dengan menyalurkan dana kepada institusi kewangan mereka untuk kekal aktif. TARP (Transfer Asset Relief Program) sebanyak USD700bilion telah diberikan kepada konglomerat yang mana kebanyakkannya ialah institusi kewangan (lihat rajah dibawah) dan pasaran kewangan Amerika kembali stabil.


Ini berlaku beberapa bulan sebelum Barack Obama menjadi Presiden kulit hitam yang pertama di Amerika. Salah satu ucapannya ketika baru menjadi Presiden ialah untuk mengubah dasar pasaran kewangan Amerika Syarikat tetapi hingga kini masih tiada banyak perubahan malah ironinya, mereka-mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui perubahan oleh Obama ialah orang-orang sama yang telah gagal mengawal derivatif didalam sistem kewangan Amerika ditahun sebelum ini.

Sistem kewangan Amerika ialah satu sistem yang telah diputar-belitkan oleh mereka-mereka yang berkepentingan untuk mengaut keuntungan dengan membiarkan orang lain yang membayar kosnya. Ia telah dimanipulasikan ketahap yang paling kronik. Morgan Stanley, salah satu institusi kewangan yang hampir muflis pada tahun sebelumnya memberikan bonus pekerja sebanyak USD3billion pada tahun 2009.

Saya percaya, dunia sistem kewangan akan hancur bila tiba masanya dan manusia akan kembali "barter trade" kerana inilah sistem yang paling adil.

Wednesday, April 18, 2012

Suis Lampu

Bila mata tak boleh nak lelap kerana terlebih minum kopi atau nescafe, saya akan terkial-kial membuka lampu bilik, memasang TV lalu melayan aksi sukan.

Ada juga masa dimana saya tidak boleh lelap kerana perasaan tiba-tiba jadi tidak tenteram. Ketenangan yang hilang kerana jiwa yang mula kosong. Didalam kegelapan bilik, saya akan membuka saluran dokumentari dan berita luar negara. Tengok muka harimau, ikan, hos tukang masak, Christian Amanpour dan lain-lain lagi. Pendek kata, fikiran lebih gemar melayari rancangan yang memaparkan liku-liku dan cabaran kehidupan dan bukan aksi sukan.

Pernah seorang sahabat berkata bahawa hati ini ibarat sebuah bilik gelap, jika suis lampu dibuka maka kegelapan akan hilang. Begitu juga sebaliknya. Bila hati kita sudah mula lupa akan ugama, ia ibarat menutup suis lampu. Tidak mungkin hati kembali bercahaya jika suis lampu tidak dinyalakan semula. Bila hati sudah mula gelap, agar sukar untuk kita membezakan perkara yang haq dan yang bathil.

Bagi saya, dunia ini umpama sebuah bilik yang amat gelap. Hanya tuhan sahaja yang dapat memberikan kita petunjuk kearah suis lampu suluh yang kemudiannya dapat memberikan cahaya untuk kita membezakan lubang gaung dari tebing yang selamat. Dan jika kita berjaya mengelak gaung didunia, harapan untuk kita berjaya diakhirat sangat tinggi.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar dapat memetik suis lampu suluh itu dan lampu suluh itu pula mempunyai bateri yang tahan lama.

Thursday, April 12, 2012

Jaga-jaga 1-3

Jaga-jaga 1 - Sila jaga-jaga bila menggoreng keropok lekor. Anda harus potong dibahagian tengahnya dahulu sebelum menggoreng. Ini ialah kerana angin yang terperangkap dicelah-celah isi keropok yang belum digoreng boleh meletup lalu memercikkan minyak panas ke muka si penggoreng.

Jaga-jaga 2 - Sebuah buku tulisan seorang kawan akan dirilis tidak lama lagi berjudul "Jefri". Berapa ringgit? Saya tak tahu tapi saya yakin buku ini pasti akan membuatkan anda suka-suki.



Jaga-jaga 3 - Seorang kawan baru sahaja membuka sebuah kedai berasaskan yogurt, Snogurt di Kota Damansara bersebelahan pusat karaoke "Loudspeaker". Sedap tak hingat!