Wednesday, September 07, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 1, Jamal Lembu

Jamal Lembu ialah seorang gangster. Walaupun baru berumur 17 tahun, dia dah banyak kali pecah masuk rumah, kedai dan kilang. Semua hasil rompakannya akan dikongsi bersama anak-anak buah beliau yang ada lima ke enam orang, termasuklah Joey. Jumlah anak buah geng Jamal ni pun tak tentu sangat. Pernah satu masa tu mencecah sampai 10 orang tapi lepas habis PMR, jumlah itu turun ke 4 orang. Ramai masuk sekolah berasrama penuh agak Jamal. Masuk tahun ini, dah 2 tahun Joey ikut Jamal. Bukannya ada surat perlantikan untuk jadi ahli geng Jamal. Untuk mendapat pengiktirafan menjadi ahli, seseorang hanya perlu bergaul dengan mereka.

Dari jauh lagi geng Jamal perhatikan seorang budak berjersi MU dan berkasut bola Reebok design macam kek harijadi masih berbau kedai, jalan kearah mereka yang sedang asyik main bola bertiang golkan kon keselamatan jalanraya.

"Amcam mal? Kau rasa budak 'go go MU' ni boleh pakai?" Soal Joey pada Jamal. Jamal yang memakai baju Liverpool penaja Candy menyongket-nyongket bola pakai hujung kaki, skill Maradona yang dia tiru dari majalah 'Bolasepak'.

"Kau tau tugas kau kan?" Jamal memberi isyarat jari pada Joey.

Joey akur.

"Boleh saya join bang?" Tanya budak jersi MU tadi.

"Boleh." Jawap Joey ringkas.

Baru dua kali budak MU tu pegang bola, "Prapppp", kaki dia Joey kacis. Tumbang macam nangka.

Dua tiga kali selepas itu, "praapppp prapppap paaap!" Kaki budak MU kena kacis lagi. Dia bingkas bangun lalu menolak Joey dibahu, "apahal ni bang? Cari pasal nampak!"

"Lu nampak budak2 kecik hujung padang belah sana kan? Baik lu main dengan budak sana tu. Ini bukan tempat lu dik." Jamal bersuara dari jauh.

Budak MU itu terkedek-kedek blah.

"Cantik kasut!" Suara geng Jamal mengutuk kasut bola budak MU yang sedang beredar.

Jamal pandang Kuppu, orang kuatnya kemudian berkata, "sokong MU, gua dah boleh agak dah."

Kalau nak bergaul pun gagal, nak jadi ahli kumpulan lagi lah hancur. Ikatan persahabatan harus ada sebelum boleh jadi ahli. Oleh sebab inilah, kepercayaan lebih utama dari sumbangan tenaga didalam geng Jamal. Kerana ini jugalah, amat sukar untuk menangkap mereka.

----------

Kedai mesin kuda dan judi Ah Fook atas kedai foto Kg.Cempaka merupakan ibu pejabat pergerakan geng Jamal Lembu. Ia dibuka 24/7/360. Lima hari cuti Gong Xi Fa Cai. Disinilah tempat mereka banyak menghabiskan masa minum teh tarik bungkus ikat tepi, bawa awek lepak, main snooker dan berjudi mesin kuda/jackpot. Ah Fook tidak gemar kedai mesin judi beliau sepi. Dia akan sentiasa memasang lagu-lagu tidak kira bahasa apa sekalipun untuk memuaskan nafsu bunyinya.

Ah Fook menekan butang 'open' dan memasukkan kaset kumpulan Wings kedalam pemain kaset jenama Bombeat. Suara Awie mencanak.

"Oi Ah Fook, apa ranchuk punya lagu lu pasang ni?" Jamal menjerit dari dalam bucu kedai. Bahagian kedai yang paling stratejik, gelap dan berasap.

"Lu tak tau ka? Ini kumpulan manyak syiok ooo. Dia lagu aaa, wah lauuu... Lu kasi dengar dulu maaa!" Ah Fook jawap.

"Kepala otak lu la Fook. Lu kasi stop itu kaset sekarang. Ni lagu rock mat cintan maa."

"Sekarang, lu kasi pasang ini kaset. Sikit jam Joey pass sama lu." Jamal menghulurkan kepada Joey satu kaset lagu.

"Joey, kau tolong pass kat apek tu jap."

Inilah kelebihan Jamal. Kalau dia nak minta anak buah dia buat kerja, dia akan guna perkataan 'tolong' dalam nada yang tidak keras, gemalai dan syahdu. Sesapa yang dengar, pasti akan menurut.

Irama lagu nyanyian kumpulan Kembara dengan suara M.Nasir berkumandang didalam kedai Ah Fook. Pengunjung lain saling pandang memandang diantara satu sama lain sambil mencebikkan bibir. Dari jauh kelihatan mulut Jamal kumat-kamit mengikut senikata lagu, "berjalan ditanah gersang, mentari mencengkam dada, debu-debu dijalanan, menjadi teman setia ...."

----------

Rata-ratanya geng Jamal ini budak-budak belasan tahun. Cuma ada seorang sahaja yang sudah agak lanjut usia, Kuppu yang berumur 20 tahun. Seorang india yang malas nak bercampur dengan kaum sejenisnya.

"Tambi, kasi kira." Kuppu meletakkan beberapa barangan kebersihan diri diatas kaunter kedai runcit Sami. Sami si tauke di kaunter sedang sebok berborak dengan seorang rakan lagi berbangsa india yang tengah seronok memilih barang diatas rak.

2 minit berlalu dan Sami masih berborak dengan kawannya itu ibarat Kuppu tiada depan mata. Kuppu renung tajam muka Sami.

"Hoi Sami, aku suruh kau kira! Kau nak mampos ke?" Kuppu hilang sabar. Sami terkebil-kebil mengira.

"Lapan belas ringgit."

Kuppu lebih senang bercampur dengan melayu. Kuppu juga sangat fasih berbahasa melayu.

"Pakcik rasa saya ini india ke melayu?" Pernah Kuppu menyoal seorang tua berbangsa cina yang sedang serius berjudi mesin jack pot disebelahnya sambil menjeling arah Jamal.

"Melayu hitam." Jawap orang tua itu, sekilas memandang wajah Kuppu.

Semua orang ketawa dan orang tua tadi terpinga-pinga.

----------

Sudah beberapa kali Jamal hampir ditangkap polis. Macam-macam jenis polis pernah kejar Jamal dengan menaiki pelbagai bentuk kenderaan. Motor, kereta, van dan pacuan 4 roda. Yang peliknya, polis-polis ini tidak tahu ke dimana Jamal tinggal? Jamal pula hanya lari menggunakan tulang empat kerat. Susup sasap Jamal melesapkan diri diantara lorong-lorong kedai di Kg.Cempaka.

"Bola satu kepada bola dia, over. Maaf. Bola satu kepada bola DUA, over." Polis bola satu tersengih-sengih, menutup mulut tahan ketawa sambil pandang rakan disebelahnya dalam kereta peronda plat WAB 7622, memecahkan kesangapan dalam kereta dengan bar cahaya biru kereta peronda bersilau-silau memotong gelap malam.

"Saspek berjaya melarikan diri, over." Polis bola dua menjawap.

"Roger, over and out." Polis bola satu balas.

"Si Zul botak ni memang bangkai. Pakai kereta peronda Proton enjin Magma yang baru register pun tak boleh nak kejar Jamal Lembu. Padahal lembu tu lari pakai kaki aje." Polis bola satu meluahkan rasa kekecewaannya terhadap Zul, polis bola dua.

Saya faham keluhan polis bola satu itu. Proton Magma ialah jenama kereta Proton yang terbaik didalam kesemua keluaran kereta Proton, sampailah sekarang. Yang mereka tidak tahu ialah fakta bahawa Jamal Lembu bukan sembarangan gangster. Dia bakal gangster kelas pertama.

---------- Klik disini untuk kisah seterusnya ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1 - Abstrak

2 comments:

  1. aku syak budak MU tu pakai reebok reezig, sekali tengok mmg nampak macam icing kek..hahahhaha

    Ps, apa peranan suara saya dalam story ni? dia gang jamal lembu jugak ka?

    ReplyDelete
  2. Suara saya tu ialah suara Ahmad. Naratif within scenes.

    ReplyDelete