Thursday, September 29, 2011

Johan & Joey - Vol #1: Bab 5, Projek Evo 1

Pepatah ada mengatakan jika mahu meluntur buluh haruslah dari rebungnya. Bagi saya pepatah ini cuba menyatakan betapa pentingnya merancang sesuatu sebelum terlambat. Kalau main belasah saja, keputusan yang diinginkan mungkin tidak tercapai malah nampak macam kita ni bangang pula.

"Aziz, Nazri, Manjit. Gua harap Kuppu dah jelaskan tugas luorang." Jamal bersuara lantang sebaik sahaja sessi 'brain-storming' petang itu tamat. Kuih seri muka dan badak berendam masih ada enam ketul lagi dalam pinggan atas meja. Aziz pandang Manjit. Manjit pandang Aziz. Pandang memandang dengan otak berfikir siapa akan dapat makan kuih seri muka yang dah 'last-call'. Kuih badak berendam ada lagi lima. Sorang pun tak usik. Mungkin kerana leceh nak makan kuih jenis ini ketika bermesyuarat.

Zup zup zup! Jamal mengunyah kuih seri muka yang dah 'last-call' tadi dengan jayanya. Manjit dan Aziz terpongeh.

Kesimpulan sessi petang itu, projek 'Mitsubishi Lancer Evo 1' akan bermula dua hari lagi. Bayaran deposit sebanyak RM2,000 dari pelanggan kepada Jamal sudah pun berada dalam perut mesin kuda no.4. Segala perancangan telah dibuat dan semua barangan yang diperlukan untuk menjayakan projek ini sudah tersedia.

"Gua taknak luorang main-main. Gua ulang sekali lagi, gua taknak luorang main-main. Apa gua cakap tadi?" Jamal buat muka tanda soal bercampur bengis.

"Gua taknak luorang main-main!" Aziz, Nazri dan Manjit menjawab serentak dengan ketiga-tiganya memandang Jamal sambil masing-masing memegang sudu teh, sedang makan kuih badak berendam.

"Aduhh..." Jamal mengeluh kecil, tepuk dahi.

---

Malam itu hujan renyai-renyai. Angin menyapa secara sepoi-sepoi bahasa yang membuatkan saya yang ditugaskan memandu lori Isuzu satu tan itu, tersenguk-senguk nak tidor. Yang menahan saya dari terus tidur hanyalah bunyi enjin lori di gear tiga. Bising macam haram jadah. Patutlah lori Isuzu harga murah. Dibahagian belakang lori, sejenis jek angkat enjin terikat ketat dan Aziz, Nazri serta Manjit sedang mencangkung meredah cuaca malam yang sembap dan lembap. Jamal dan Kuppu mengekori rapat dibelakang lori menaiki motor sementara Johan dan Joey sebok meludah serangga kecil dari dalam mulut, membonceng Jamal dan Kuppu.

"Kau apahal selubung kepala dengan jaket tu Naz?" Aziz tanya Nazri. Nazri memang baru dalam arena kerja-kerja panas ni.

"Sejuk." Balas Nazri.

"Dah, jangan serkup kepala macam tu. Nampak macam boyan." Aziz bising dibelakang lori.

Usai lori parkir dilorong betol-betol sebelah tepi pagar rumah 'end-lot' mangsa, Jamal mengganggukkan kepala kepada Johan dan Joey tanda arahan mula tugas sementara Kuppu cergas membantu Aziz, Nazri  dan Manjit turun dari lori. Cahaya lampu jalan tepi rumah mangsa sekejap menyala, sekejap padam. Bila menyala kelihatan lah unggas-unggas berterbangan mengelilingi lampu itu dan bila ia padam, apa pun tak nampak.

Jamal usha jam tangan, "2:30am".

"Nah ambik sorang satu." Jamal hulur sarung muka seperti yang diguna pemotong rumput tepi jalan.

"Ingat, kita ada 20 minit untuk kasi clear. Paling lama pun 22 minit." Jamal membisik kepada Aziz, pomen terhandal dan merupakan ketua pasukan bukak barang kereta malam itu.

Mereka menunggu cahaya lampu jalan padam. Bila padam, seorang demi seorang dari mereka lompat pagar dan masuk rumah mangsa. Ketiga-tiga pomen kereta racing tersohor berjaya lompat masuk setelah 4 kali lampu jalan padam. Sekali tu lampu cepat sangat menyala semula maka tak sempat Manjit nak mengangkang kesebelah dalam pagar, dah kena turun balik.

"Klunk, klank, klunk, klank," bunyi kereta Mitusbishi Lancer Evo 1 mula dibuka dengan sinaran lampu suluh bersilang-silang menyuluh kereta. Bonet dah ternganga menunjukkan enjin 4G63 berkuasa turbo dan turbin jenama 'Garrett' yang memang mahal harganya dipasaran. Tambahan pula pasukan rally Mitsubishi berkuasa enjin VR-4 4G63 ini sedang 'hit' di persada rally dunia.

"Wey, apa hal lu nak rembat barang gua ni wey! Tolong! Tolong!" Jeritan mangsa dari dalam rumahnya.

"Gedegang, gedegang!" Bunyi pintu gril ditendang mangsa yang pada mulanya cuba dibuka tetapi digagalkan oleh 'Solex' baru yang dipasang oleh Johan dan Joey dipintu hadapan dan belakang umah mangsa.

"Amy! Amy! Talipon polis Amy! Cepat!!" Mangsa menjerit kearah isterinya yang kehulu kehilir mencari talipon.

"Jeez, mangsa dah call polis. Kita ada 15 minit dari sekarang! Clearkan cepat!" Jamal mengingatkan Aziz. Aziz angguk.

Enjin dan turbo selesai diangkat oleh jek. Kerusi 'Recaro' depan dan belakang tersadai ditepi bahagian dalam lori. Suspensi dan rim jenama 'Ralli-Art' siap dibungkus. Keempat-empat brek 'Brembo' dan keseluruhan sistem exhaust 2.5 inchi HKS Hyper-drager sudah tersemat diperut lori.

"Alahai Amy... kereta kita Amy oi..!" Mangsa yang sedang terduduk dibahagian dalam gril rumah menangis melihatkan keretanya yang kini hanya tinggal rangka dan chassis. Meter elektronik, racing chip, papan pemuka kereta dan segala isinya pun kena rembat.

"Jom gerak!" Jamal menjerit sambil melambaikan tangan pada si mangsa.

2 jam kemudian baru polis sampai ke tempat kejadian dan sampai ke pagi anggota polis yang tiba kena maki oleh mangsa yang masih tidak boleh nak keluar dari rumahnya sendiri.

---

"Hahahahaha. Luorang semua memang bagus buat kerja!" Jamal gembira.

"Nah ambik seorang lima ratus ringgit."

"Wey jeez, satu malam dapat lima ratus bro! Kalau ada job macam ni lagi, jangan lupa panggil aku jeez." Manjit Singh bercakap sambil tersengih-sengih mengira wang.

"Harus luorang semua ingat, projek ini takkan berjaya kalau bukan kerana perancangan dan idea si Johan." Jamal menepuk-nepuk bahu Johan.

Rebung yang memang sudah rosak, dah jadi buluh pun ia masih rosak. Johan mempunyai otak yang cerdas tetapi hanya disaluran yang tidak betol. Di sekolah dia sering dapat 'F'. Walau bagaimana pun sejak malam projek 'Mitsubishi Lancer Evo 1' itu Johan sentiasa mendapat tempat dihati Jamal Lembu hingga ke akhir hayat.

---

"Kenapa tuan tak keluar dari rumah ketika mendengar mangsa menjerit 'tolong' malam tadi?" Soalan Koperal Zul, polis yang menjalankan siasatan kes rompakan Jamal.

"Bukan saya tak mahu keluar tolong, tapi memang selalu sangat jiran saya tu menjerit minta tolong bila mereka suami-isteri bergaduh." Jawapan jiran sebelah rumah mangsa secara berbisik pada polis.

---------- bersambung ----------

Kisah terdahulu
===========
Johan & Joey - Vol #1: Kamal
Johan & Joey - Vol #1: Ekspedisi
Johan & Joey - Vol #1: Mata-mata
Johan & Joey - Vol #1:  Jamal Lembu
Johan & Joey - Vol #1:  Abstrak

No comments:

Post a Comment