Thursday, August 18, 2011

Cerita Pendek #1 - Misteri Mimpi Maria

Maria ialah seorang ibu tunggal. Ditunggalkan oleh suami yang mati akibat kemalangan jalanraya dua tahun lepas. Maria dibesarkan sebatang kara. Itulah yang membuatkan pemergian suaminya, Uthman sangat perit buat Maria.

Maria genit, kulit hitam manis dan bermuka bujur sirih. Cantik orangnya. Kalau dia berjalan di kompleks membeli belah, memang ramai yang memaling melihat liuk-lentuk Maria. "Keletuk, keletuk, keletuk", bunyi tapak kasut tumit tinggi Maria. Bunyi "keletuk" yang tidak sama dengan wanita-wanita lain. Tempo "keletuk" yang sekata dengan nada yang rilex. Unik. Dari keunikan bunyi tapak kasut itu sahaja orang sudah boleh meramalkan karakter Maria, tenang.

Kalau ada orang yang kata bunyi tapak kasut Maria enak didengar kerana kasutnya berjenama mewah, itu tidak benar sama sekali. Kasutnya jenama Vincci dan Primavera. Kasut biasa-biasa untuk orang kebanyakkan.

Maria bukanlah seorang ibu tunggal yang nakal. Beliau membanting tulang menjual insuren am untuk menyara seorang anak lelaki yang sepatutnya kini berumur 3 tahun dan seorang orang gaji. Syamsul@Samsul nama anaknya. Memang itulah yang tertera di atas kad pengenalan mykid Syamsul@Samsul. Apa yang menyebabkan suami Maria mengisi borang kelahiran dengan nama yang sebegitu dan bagaimana ia boleh diluluskan amat menghairankan Maria. Apalah salahnya kalau letak "Syamsul" sahaja?

Pendapatan Maria sebulan banyak bergantung kepada tahap kerajinan beliau berjumpa pelanggan. Lagi ramai yang dia jumpa, peluang untuk menjadikan mereka pemegang insuren lagi tinggi. Biasanya Maria jumpa sehari seorang. Kadang-kadang sehari dua orang. Paling maksimum pun sehari jumpa 3 orang iaitu ketika sarapan, makan tengahari dan minum petang. Selalunya pelangganlah yang bayar bil makan itu. Tugas Maria hanya buat-buat buka beg tangan. Bukan Maria yang suruh mereka bayar tapi mereka yang beria-ia hendak bayarkan.

Maria jarang keluar rumah waktu malam. "Tidak manis. Nanti orang fitnah I. Tak pasal-pasal diorang dapat dosa pula", jawab Maria jika ada client yang ajak dia jumpa untuk makan malam. Sebaliknya waktu malam Maria dipenuhi dengan aktiviti melayan dan bermain dengan Syamsul@Samsul.

Maria sangat sayangkan anaknya itu. Buah hati, intan payung Maria. Anaknya pula comel dan sangat cerdik. Ketika umurnya baru lapan bulan Syamsul@Samsul sudah pandai membezakan Upin dari Ipin tanpa melihat pakaian yang sedang mereka pakai dan juga sangat keletah bercakap. Cuma sejak kematian Uthman, anaknya tidak bercakap langsung kecuali untuk perkara-perkara tertentu. Walau apa pun, sayang Maria kepada anak melebihi sayangnya kepada tanahair tercinta.

Didalam kesederhanaan Maria, dia ada menyimpan satu rahsia. Rahsia yang halus sehalus selumbar didalam kayu.

Maria kaki tekan nombor ekor. Bukan semua jenis nombor ekor yang akan beliau tekan. Hanya nombor di tempat yang berkaitan sahaja. Pelik padahal suatu ketika dahulu Maria tidak kenal apa itu judi.

Segalanya bermula dari mimpi-mimpi Maria yang aneh tetapi semakin lama semakin kurang aneh.

Mimpi aneh pertama Maria ialah seorang jejaka cina menaiki basikal turun bukit lalu terjatuh, mati. Didalam mimpi itu juga datang seorang tua dan menyuruh Maria meminta Syamsul@Samsul mentafsirkan mimpinya itu. Maria masih ingat mimpi itu hari Rabu malam Khamis. Tepat sebulan dari tarikh kemalangan Uthman.

"1824, rumah kuning", jawapan Syamsul@Samsul bila ditanya.

"Apa syam cakap ni sayang?" Maria terpinga-pinga. Syamsul@Samsul seperti biasa sejak kemalangan Uthman akan hanya diam sambil duduk diatas kerusi utama meja makan tanpa menjawap soalan Maria itu. Dua hari juga Maria kehulu kehilir bertanyakan orang, akhirnya Maria tahu maksud Syamsul@Samsul.

1824 naik hadiah pertama dan dengan pertolongan seorang pelanggan cina, Maria pulang membawa RM3,500. Sejak dari mimpi pertama itu, Maria telah berjaya mengumpul sebanyak RM300,000 dan beliau simpan dalam bank untuk kos pelajaran anaknya bila dewasa kelak.

Diruang tamu rumah Maria, diatas TV 50 inci tergantung sebuah bingkai gambar yang didalamnya satu keratan suratkhabar lama. Setiap kali Maria masuk rumah selepas memberikan salam, dia akan berdiri dihadapan bingkai gambar itu dan menitiskan airmata.

Keratan suratkhabar itu berbunyi: Isnin. Satu kemalangan ngeri di Simpang Lapan telah mengakibatkan seorang lelaki maut bersama anak tunggal beliau serta orang gajinya. Ketiga-tiga mangsa mati ditempat kejadian. Uthman Siddek 36 tahun meninggalkan seorang balu bernama Maria.


---------- Tamat ------------

7 comments:

  1. oh syamsul @ samsul tu hantu.

    "ditunggalkan" - tergelak kejang perut

    ReplyDelete
  2. haram brilliant punye seram...
    terkedu jap la jantung baca ending die!!!

    ReplyDelete
  3. rahsia Maria yang sebenarnya bukan kisah dia kaki tikam, tapi dia adalah seorang penghidap schizophrenia.

    john Nash adala contoh popular untuk orang yang ada schizo, tapi berjaya dalam hidup.

    Sumber dari filem A Beautiful Mind :p

    ReplyDelete
  4. Yes. Correct. John Nash the mathematician kan? Its a wonderful movie.

    ReplyDelete
  5. kalu tak silap Math Prof from Princeton kut..dah lama tengok muvie tu....

    ReplyDelete
  6. mula-mula ingat cerita kelakar..baca komen baru tau cerita seram..natam!!

    ReplyDelete
  7. Uthman Sidek affair dengan orang gaji ke?

    LilyDalglish

    ReplyDelete