Thursday, July 28, 2011

Ekspedisi P.P.R

Projek Perumahan Rakyat (PPR). Ia dimanifestasikan secara fizikal melalui pembinaan beberapa blok pangsapuri kos rendah dan terletak berhampiran dengan tempat asal penghuni rumah setinggan yang menerima skim PPR ini.


Sahabat kepada isteri saya baru bersalin sebulan yang lepas. Beliau berasal dari Setapak. Keluarganya mendapat satu unit rumah di PPR Rajang, Setapak (gambar atas). Saya dan isteri pergi melawat beliau semasa sedang berpantang.

PPR Rajang ada banyak blok. Kawasan tempat meletak kereta sangat tidak mencukupi sehinggakan jalan dua hala menjadi satu hala akibat tabiat orang tempatan yang letak kereta suka-hati-happy-go-lucky. Jalan yang semakin sempit menjadikan ia medan pertempuran dua kereta yang berlainan arah. Saya sebagai orang luar, pasti akan bagi jalan pada mereka yang bawa kereta macam syaitan disitu.

Setelah mendapat parking yang agak dekat juga dari blok tempat berpantangnya kawan isteri saya, kami mencari lif untuk naik ke tingkat 8 di blok H. Dari tiga lif yang sepatutnya beroperasi, hari itu hanya satu. Kami pun menunggu lif yang ibarat tidak kunjung tiba. Bila lif sampai, kami naik.

Lawatan kami disambut oleh ibu kepada kawan isteri saya. Selain dari si ibu dan bapa, rumah ini juga didiami oleh adik kepada kawan isteri saya beserta suaminya, anak adik kawan isteri saya, adik-adik lelaki kawan isteri saya, makcik jaga anak adik kawan isteri saya, anak pertama kawan isteri saya, kawan isteri saya beserta suami beliau dan bayi kecil baru lahir kawan isteri saya itu. Pangsapuri dua bilik dan satu bilik air ini dihuni oleh lapan orang (tidak termasuk kawan isteri saya yang akan hanya berpantang sebulan disitu). Sempit.

Selepas pening melayan channel 612 di ruang tamu berselang-seli dengan tangisan budak2 kecik, saya pun mulakan sessi bual-bual kosong saya dengan makcik yang jaga budak tadi. Makcik itu pun bukan main seronok bukak cerita sambil buat aksi cebik-cebik mulut.

"Sini kurang selamat dik. Gangster ramai. Melayu sama India. Tapi India lah yang suka buat kacau kerana diorang suka mabuk", cerita makcik tu sambil cebik-cebik mulut.

"Parking pun susah nak dapat ye kak?", saya menyuarakan keperitan mendapatkan parking pada beliau.

"Eeeeeee, susah dik. Satu rumah ada 3 kereta. Abis, macamana? Kalau malam, parking sampai keluar tu haaa." Makcik tu mencebik kearah luar.

"Kalau gangster bergaduh, takut dik. Gangster sini kalau nak rompak, dia tahan aje kita dik. Tak kira siang atau malam. Budak-budak kecik di sini pun terikut-ikut perangai gangster dik. Budak-budak kecik sini suka baling batu dari atas kena kepala orang dibawah dik. Eeeee.. takut dik." Makcik tu cebik lagi.

"Biasalah kak, pangsapuri macam ni memang masyarakatnya macam tu. Sampah buang dari atas jatuh atas kereta mesti selalukan kak?" Saya tambah perencah.

"Eeee... bukan sampah aje dik, orang terjun bunuh diri jatuh atas kereta pun ada dik." Makcik tu dah tak cebik lagi. Letih nak cebik kut.

"Jemput makan nak. Tak ada apa pun ni. Air pun air kosong aje." Ujar ibu kawan isteri saya. Orang Melayu memang penuh adat dan santun.

Saya pun makanlah roti jala cecah kari sambil minum teh 'O' yang terhidang. "Sedap makcik!" Kata saya jujur.

Selesai "bye-bye" kami pun berjalan kearah lif tadi untuk turun. Lama betul tunggu lif nak sampai. Bukak-bukak lif, ada selonggok plastik sampah hitam berisi sampah. Walaupun terikat dimuncungnya tetapi masih terdapat banyak kesan-kesan minyak disekeliling bukaan plastik itu dan baunya, mak datuk!

Saya palingkan muka saya dan berhajat untuk tak nak naik lif tetapi memandangkan nak kena dukung anak saya sambil turun tangga 8 tingkat, saya kensel hajat itu. Saya dan isteri tutup mulut dan kami tahan nafas dengan harapan takde lah orang lain tahan lif ni kerana perjalanan lif akan jadi lebih lama. Maksimum saya tahan nafas pun 45 saat aje manakala isteri saya, 15 saat aje kut. Tapi kasihan anak saya, dia sedut aje bau busuk dalam lif dengan selamba main "chak-chak" dengan ibunya yang dah kusut.

Keluar dari lif, kami terus berjalan laju kearah kereta. Saya start engine, reverse kereta, masuk gear D dan tanpa melengahkan masa lagi tuju arah keluar. Saya susuri jalan yang dah jadi satu hala tadi dengan perasaan lega tetapi sebaik sahaja pusing selekoh yang tinggal lagi satu belok untuk keluar, ada sebijik van satu tan parking tengah jalan dengan pemandunya sedang turun kan barang yang kelihatan agak banyak. Saya reverse jalan sempit tadi sepanjang 50 meter dan berselekoh sambil menyumpah-nyumpah.

Setibanya saya dijalan besar diluar PPR saya pandang isteri saya dan kata, "kalau lah ada Doktor atau Peguam atau Jurutera yang dibesarkan di PPR ini, dia memang terer gila."

Isteri saya jawab, "ha'ah kan?" sambil check-check bau dibaju takut bau sampah dalam lif tadi melekat kebadan.

---------------------------------------------------

Kesimpulannya macamana nak jadi 1Malaysia dan pada masa yang sama, Bersih2.0 ni?

2 comments:

  1. Mungkin pada anak2 yang masuk asrama sejak sekolah la tu kot baru boleh mcm tu.

    ReplyDelete
  2. Mungkinlah. Saya sering teringat kawasan "slump" di tanah mat saleh tempat negro tinggal bila ke PPR. Kurang berada dan orang nya ganas2.

    ReplyDelete