Thursday, August 04, 2011

Cerita Pendek #0 - Komplikasi Budin

"Esok jam 10 pagi yer? Baiklah. Terima kasih Cik Munah. Terima kasih. Okay."

Budin picit butang merah di talipon bimbit sambil terhoyong-hayang mengawal handle basikal. Masih terngiang-ngiang perkataan 'okay' dihujung perbualan tadi. Dia pun pelik kenapa dia gemar sudahi perbualan dalam talipon dengan perkataan 'okay'.

Usaha Budin sejak akhir-akhir ini sudah mula menampakkan hasil. Budin deras mengayuh basikal tuanya menuju pulang. Dibelakang Budin matahari sudah condong, lagi 12darjah sahaja ia akan mencecah horizon diufuk barat. Ditepi denai tempat Budin berkayuh, seekor ayam kampung sedang melompat dari dahan ke dahan sambil cuba berkokok.

"Oukk, oukk".

Mata Budin tajam merenung ayam kampung itu. Ayam kampung jadi tersipu-sipu. Budin meneruskan perjalanan.

Budin menyandarkan basikal pada tiang tepi rumah. Rumah kampung fesyen lama dan kelihatan agak usang. Cuma tangga cantiknya sahaja nampak elok. Ada yang kata tangga cantik rumah Budin itu meloyakan. Maklumlah jubin warna biru, jingga, merah hati, hijau pucuk pisang dan putih kobis disusun kemas membentuk corak abstrak yang sekali pandang nampak berkecamuk. Pernah Budin ingin pecahkan tangga cantiknya itu tetapi setiap kali dia hendak menghayunkan penukul konkrit, wajah arwah bapa Budin mengaburi penglihatan. Corak abstrak itu corak pilihan arwah bapa Budin yang merupakan juara Bapa Mithali Kampung Cempaka 7 tahun berturut-turut.

Budin pandang tangga cantiknya itu dari jauh dan menggelengkan kepala kemudian membasuh kaki sambil menjentik puntung rokok masuk pasu lalu terus mengintai isterinya didapur.

"Assalamualaikum.."

"Waalaikumsalam. Lewat abang balik?" Ramlah, isteri Budin sedang sebok menyiang ikan jaws yang merupakan ikan kegemaran Budin. Bahagian sirip perlahan-lahan Ramlah sisip tepi peti ais takut suaminya nampak. Sirip jaws ialah bahagian kegemaran Ramlah dan Budin tak pernah tahu pun yang siriplah bahagian jaws yang paling sedap.

"Ada kematian pagi tadi. Anak Haji Mutalib. Jatuh motor. Terpaksa saya buat overtime." Budin tenung jam Rolex ditangan. Jarum menunjukkan waktu dah nak masuk maghrib.

Melihat jam Rolex jenis Submariner itu, ingatan Budin melayang ke zaman dia betul-betul buat duit. Zaman ramai orang mati sakit H1N1 dua tahun sudah. Tak cukup cangkul Budin nak mengali kubur. Satu hari, dua kubur Budin gali. Sebulan dua sahaja duit simpanan beliau dah cukup untuk membeli jam tangan idamannya itu. Tapi masa sudah berubah. Kini setiap kali ada kematian, Budin jadi gelisah.

Malam itu seperti biasa Budin akan berdoa selepas solat. Cuma doanya malam itu lebih panjang dari biasa. Lenguh tangan Ramlah menadah sambil mengamin.

--- Di pejabat Majlis Daerah keesokan hari ---

"Sila masuk Encik Hasbudin. Tuan Kamal sedang menunggu didalam." Munah, pembantu pejabat yang bermata galak itu menjemput Budin.

Dari luar pejabat, Munah sebok meninjau aksi perbualan Budin dan Tuan Kamal melalui cermin "half-glass" pejabat Tuan Kamal. Terkumat-kamit mulut Budin. Kadang-kadang tampak keningnya herot-herot macam kerepek. Kadang-kadang mereka berdua menggelekek ketawa. Sekali-sekala Tuan Kamal menjeling kearah Munah dan Munah tunduk senyum. Tuan Kamal terus jadi tak keruan.

10 minit berlalu. Budin terkedek-kedek keluar dari bilik Tuan Kamal dan waktu Budin melintasi meja Munah, sempat Munah usha Budin atas bawah sambil berfikir dalam hati, "baju cap ayam, seluar cap ayam, profession penggali kubur tapi jam tangan... cemerlang. I like."

Akibat terlalu banyak bercakap, tekak Budin jadi kering. Budin ambil keputusan untuk singgah di kedai kopi pak Samad sebelum balik rumah. Malam itu pun malam Jumaat. Di Kampung Cempaka ini kedai pak Samad sahaja jual kopi peria yang sedang hangat sekarang. Budin minum segelas, tanpa gula tapi tekak Budin masih kering. Budin pesan Cola Susu segelas.

"Sedap tak ingat Cola Susu ni." Budin angkat ibu jari, puas.

--- Rumah Budin petang hari yang sama ---

"Toing te te toing toing toing", bunyi dering talipon bimbit Budin.

"Assalamualaikum.." Budin memberi salam.

"Waalaikumsalam. Tuan Kamal sini."

"Oh, Tuan. Apa ke halnya? Saya tertinggal rokok atas meja tuan ke tadi?"

"Eh bukan, bukan. Saya nak bagitahu pada awak perkembangan terbaru kes cadangan penutupan tanah perkuburan Kampung Cempaka ni. Mesyuarat lembaga pengarah Majlis yang baru selesai tadi bersetuju untuk meluluskan projek tambak tanah untuk membesarkan tanah perkuburan di Kampung Cempaka dan menarik balik keputusan asal untuk menutup tanah perkuburan yang sudah sempit tu."

"Ye? Ye ke tuan? Alhamdullilah. Terima kasih tuan. Budi tuan hanya Allah Taala sahaja yang boleh balas." Mata Budin mula bergenang.

"Okay, okay. Saya ada satu lagi mesyuarat nak kena hadir ni. Saya pengerusi mesyuarat kenalah hadir ye dak?" Tuan Kamal memberi alasan walhal Munah sedang menanti terkaman Tuan Kamal dikerusi empuknya dengan penuh rasa khusyuk.

"Okay", kata akhir Budin sebelum menamatkan perbualan taliponnya lagi.

Budin tersandar kedinding tanda lega. Boleh lah dia mula mengumpul duit untuk membeli Proton Saga model terbaru yang dia dengar dalam radio tadi. Komputer ribanya dibuka dan sambungan P1 ke internet diklik. Aplikasi "Google" terpampang di muka depan komputer riba Budin.

Dengan pantas Budin menaip "wiki how to breed virus H1N1 2.0" lalu menekan butang "Google Search".

---- Tamat --------

3 comments:

  1. cilake Budin hahahaha...dia kena tanya kawan saya di Monash University cawanagn Malaysia, sebab kat sana ada facility P3 untuk culture virus tu, selain viral institute Ipoh.

    ReplyDelete
  2. mintak kembangkan sikit watak Munah tu, menarik pulak nak tahu kisah hidup dia. hahaha

    ReplyDelete
  3. Eric, eric... ko ni memang aaa..

    Nanti bila aku ada akal, aku buat lah satu cerita pasal munah waktu dia indie. Keh keh.

    ReplyDelete