Thursday, August 25, 2011

Cerita Pendek #2 - Munah Budak Bertuah

Pagi itu ruang legar Concorde Hotel, Kuala Lumpur tampak lengang. Cuma penginap hotel sahaja yang sebok berpusu-pusu ke Melting Pot untuk sarapan. Munah perhatikan saja dengan siku menyendal meja, tangan menongkat dagu. Ada yang sudah bersiap, ada yang belum bersiap, ada yang muka tak siap. Ramai berpakaian baju tidor lagi. Munah senyum pada mereka yang memandang, tanda hormat. Senyum terpaksa. Senyum servis.

Jam dibelakang Munah bergerak perlahan.

"Klik, klok, klik, klok".

"Mr.Ramesh, you tak boleh minta management tukar ini jam dinding? Saya tahu ini jam sponsor kasi, tapi dia keluar bunyi kuat sangat lah Mr.Ramesh. Kadang-kadang saya rasa macam mau muntah", Munah mengajukan soalan kepada penyelia kaunter bertugas pagi itu.

"Munah, kita sebagai insan biasa dan datang sini cari makan. Kita tak boleh minta berlebih-lebihan. Orang putih cakap, beggars cannot be choosers".

Ramesh bekas penuntut sekolah Victoria Institution sebenarnya malas nak minta apa-apa dari pihak pengurusan kerana dia kaki bodek. Kalau dia minta, nanti muka dia kena chop kuat komplen. Budak VI memang haprak.

"Seksi hari ni", komen Ramesh tentang cara Munah berpakaian.

"I pakai uniform lah Mr.Ramesh. Mana ada seksi?"

"Baju dalam warna merah, semua orang boleh nampak Munah." Ramesh cuba menegakkan sesuatu.

Munah tersenyum sinis. Memang dia suka berpakaian ala marabahaya tapi bukan mendedah sangat. Munah sekarang bukan seperti Munah dulu. Waktu dia bekerja sebagai pembantu pejabat di Majlis Daerah Kampung Cempaka 3 tahun lepas, Munah memang gila. Darah muda. Pakai bikini pergi pejabat pun dia sanggup.

"Nampak sikit-sikit sahaja kan Mr.Ramesh?" Munah meminta kepastian sambil jeling. Ramesh tergedik.

Dulu Munah seksi kerana cinta. Kerana sayang. Sekarang Munah sudah faham konsep. Konsep yang mudah tapi tak berapa terang. Kini Munah tidak akan tertipu oleh lelaki lagi. Lelaki kacak tak pandai kungfu atau tidak ada duit semuanya bajingan.

"Kasut I seksi tak?" Munah muncung.

"Apa seksi? Saya lelaki mana tahu kasut perempuan seksi macamana. Kasut perempuan semua sama saja saya tengok", Ramesh betul bendul.

Munah muncung lagi. "Ala, Mr.Ramesh ni. Kodi."

Dulu kerana cinta, Munah sanggup lakukan apa sahaja. Apa sahaja. Sekarang, Munah akan layan jika ianya perlu. Perlu itu pun bagi Munah tertakluk kepada pelbagai kriteria yang agak tinggi penilaiannya. Ibarat mengumpul jantung nyamuk sedulang.

"MasyaAllah. Ya ummi, yes I will find myself a fine wife when I get back to Jeddah. No mother, I will not. Yes mother. Don't you worry. Waalaikumsalam."

Seorang jejaka berbangsa Arab yang sedang berbual menggunakan telefon bimbit, lalu dihadapan Munah. Tampan, tinggi, segak, bergaya dengan hidung mancung dan pipi pauh dilayang. Cara dia mencekak pinggang dan menyisirkan rambut dengan tangan membuatkan Munah terpegun.

Munah tenung jam tangan lelaki Arab itu.

"Hmm.. Jaeger LeCoultre. Pilihan yang bagus." Kata hati Munah.

"Esok pagi awak duti awal ok Munah?" Pertanyaan Ramesh menyedarkan Munah dari lamunan.

"Okay", jawap Munah, ringkas.

----------------------------

Turun dari LRT, Munah terus berlari-lari anak sambil melihat waktu di telefon bimbit.

"6:15am".

Munah mempercepatkan lariannya kerana dia dah lambat. Dia mula kerja jam 7pagi tapi dia masih belum solat subuh. Dia harus cergas.

Sejak ditipu oleh Kamal, Munah sudah banyak berubah. Walaupun nakalnya masih ada tetapi solat fardu memang dia tak tinggal walau dalam apa jua keadaan.

"Kau ni memang anak bertuah Munah! Sembahyang tak nak. Sekolah tak nak. Apa nak jadi dengan kau budak bertuah?!" Jeritan ibu masih berdesing di telinga Munah.

Rupa paras ibu jelas kelihatan diingatan Munah. Garis-garis tua didahi dan kerutan halus di pipi. Mulut, jangan cakaplah. Orang Melaka punya mulut memang pedas. Munah tersenyum sambil mengelak seketul batu blok yang dah tersongket di kaki jalan.

Setibanya Munah di hotel, dia terus menuju ke surau untuk solat subuh. Munah tengok jam lagi.

"6:30am".

Selesai solat, Munah terkejut apabila seorang lelaki sedang berdiri diluar surau. Lelaki arab Jaeger LeCoultre semalam sedang memegang kasut Munah.

"This Louboutin, yours?"

"Yes", Munah jawab sambil cuba menenangkan hati.

"It is extremely difficult to find a pretty lady, own a Louboutin and pray fajr in a musolla", tambah lelaki Arab itu dengan nada yang keluh kesah bercampur serius. Keningnya herot-herot macam kerepek.

Munah tertunduk malu.

------------------------------

6 bulan kemudian.

"Munah, rumah kau ni ada lif?", tanya ibu Munah setibanya beliau ke rumah Munah di Jeddah.

"Yer ibu. Ala ibu ni. Bukan tak pernah naik lif." Munah yang berhijab membawa ibunya kedalam rumah.

"Ibu naik lif dalam shopping complex, bukan dalam rumah. Bertuah kau Munah". Kata ibu Munah, tersenyum.

------ Tamat -------

4 comments:

  1. 1. ini mungkin hikmah untuk munah selalu dengar cakap ibu, tambah-tambah kalau rajin amal benda yang baik, solat di awal waktu :)

    2. bos aku cakap, I tak masuk St John, sebab I tau masuk VI boleh buat I jadi lebih baik.

    ReplyDelete
  2. kata-kata ialah doa...'bertuah punya budak'

    ReplyDelete